KPTM Batu Pahat pacu transformasi digital menerusi AI

Iklan
KPTM Batu Pahat memperhebat agenda transformasi digital dengan memperkasa kemahiran warga kerjanya menerusi penggunaan AI, automasi proses kerja dan analitik data.

BATU PAHAT – Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Batu Pahat memperhebat agenda transformasi digital dengan memperkasa kemahiran warga kerjanya menerusi penggunaan kecerdasan buatan (AI), automasi proses kerja dan analitik data.

Inisiatif itu direalisasikan menerusi kursus Digital Transformation: Workplace Productivity & Process Digitalization selama dua hari pada 21 dan 22 Ogos, yang dikendalikan Penna Writes Academy PLT, penyedia latihan berdaftar di bawah HRD Corp.

Iklan
Iklan

Pengarah KPTM Batu Pahat, Md Hanafizah Ya’acob berkata, penguasaan teknologi digital menjadi semakin penting bagi memastikan warga kerja kekal relevan, selain mampu melaksanakan tugasan dengan lebih cekap, tepat dan sistematik.

Menurutnya, perubahan teknologi yang berlaku pantas menuntut institusi pendidikan bukan sahaja memahami perkembangan teknologi baharu, malah memastikan warga kerjanya mempunyai kemahiran praktikal untuk memanfaatkannya secara beretika dan bertanggungjawab.

Iklan

“Warga kerja bukan sahaja perlu mengetahui kewujudan teknologi baharu, malah mesti mempunyai kemahiran untuk menggunakannya secara praktikal, beretika dan bertanggungjawab.

“Kursus ini merupakan langkah proaktif KPTM Batu Pahat bagi membentuk warga kerja yang lebih cekap, tangkas dan bersedia menghadapi perubahan dalam landskap pendidikan serta dunia pekerjaan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, KPTM Batu Pahat turut merancang memperluas latihan seumpama itu kepada warga akademik bagi membantu pensyarah memanfaatkan AI dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

“Penguasaan AI dan teknologi digital boleh membantu pensyarah menghasilkan bahan pengajaran yang lebih kreatif, mengurus tugasan akademik secara sistematik dan mewujudkan pengalaman pembelajaran yang lebih berkesan kepada pelajar.

“Kami melihat kursus ini mempunyai potensi untuk diperluas kepada warga akademik supaya teknologi AI dapat dimanfaatkan secara menyeluruh dalam ekosistem pendidikan KPTM Batu Pahat,” katanya.

Md Hanafizah (tengah) ketika berinteraksi bersama peserta kursus Digital Transformation: Workplace Productivity & Process Digitalization pada Sabtu.

Kursus berorientasikan amali itu memberi fokus kepada keperluan sebenar di tempat kerja, termasuk pengurusan dokumen, tugasan pentadbiran berulang, penyediaan bahan rasmi, penyusunan data dan pelaporan kepada pihak pengurusan.

Peserta turut didedahkan kepada beberapa platform AI dan produktiviti digital seperti ChatGPT, Microsoft Copilot, Gemini AI dan Canva bagi membantu mempercepat penyediaan e-mel, surat rasmi, minit mesyuarat, kertas kerja serta bahan komunikasi organisasi.

Pada masa sama, aspek keselamatan dan etika penggunaan AI turut diberi penekanan, khususnya berkaitan perlindungan data, pengelasan maklumat dan risiko perkongsian maklumat sensitif.

Peserta turut diingatkan supaya melaksanakan semakan manusia terhadap kandungan yang dijana AI sebelum digunakan bagi tujuan rasmi.

Bagi memastikan pengetahuan yang diperoleh dapat diterjemahkan kepada amalan sebenar, peserta membangunkan Prompt Library mengikut skop tugas masing-masing serta Pelan Digital SOP Jabatan bagi mengenal pasti proses kerja yang boleh dipermudah atau didigitalkan.

Mereka turut diberi pendedahan mengenai pengurusan data menggunakan Google Workspace dan Google Sheets sebelum menghasilkan papan pemuka interaktif menerusi Looker Studio.

Papan pemuka berkenaan membolehkan maklumat penting dipantau, dianalisis dan dipersembahkan secara visual, sekali gus membantu pihak pengurusan membuat keputusan dengan lebih pantas berasaskan data.

Kursus yang menggunakan pendekatan 70 peratus latihan amali dan 30 peratus kerangka strategik itu menyaksikan peserta melengkapkan 12 aktiviti praktikal sepanjang dua hari.

Antara hasil yang dihasilkan ialah Prompt Library, Pelan Digital SOP Jabatan, bahan hebahan rasmi, lembaran data berstruktur dan papan pemuka Looker Studio.

Kursus berkenaan diakhiri dengan pembentangan hasil kerja peserta serta penyediaan pelan tindakan 7, 30, 60 dan 90 hari bagi memastikan inisiatif transformasi digital terus dilaksanakan secara berperingkat selepas latihan berakhir.