BALIK PULAU – Seramai 50 asnaf di lima masjid sekitar daerah Barat Daya di sini menerima bantuan zakat berupa wang tunai RM200 seorang bersama bakul makanan menerusi Kembara Konvoi Jejak Asnaf Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026.
Program yang menghimpunkan lebih 100 motosikal itu merupakan sebahagian daripada Jelajah Agenda Pembangunan Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2030 (APAI2030) Siri Kedua Tahun 2026.
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, program berkenaan menjadi pendekatan turun padang bagi menyantuni golongan asnaf secara lebih dekat selain membolehkan pihak berkaitan mengenal pasti keperluan mereka.
Menurutnya, seramai 10 asnaf dipilih di setiap masjid yang terlibat untuk menerima bantuan berkenaan.
“Melalui program ini, kita dapat menjejaki asnaf berdasarkan nama yang diberikan pihak masjid dan menyantuni mereka secara lebih dekat.
“Daripada situ, kita dapat mengetahui program-program yang perlu dilaksanakan selepas ini oleh pihak zakat di bawah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP),” katanya ketika ditemui selepas konvoi berkenaan pada Sabtu.
Lima masjid yang terlibat ialah Masjid Daerah Barat Daya di Balik Pulau, Masjid Ar-Raudhah Pulau Betong, Masjid Qaryah Kampung Perlis, Masjid Jalan Baru Air Itam dan Masjid An-Nur Titi Teras.
Selain bantuan tunai dan bakul makanan, program berkenaan turut mendapat sokongan pembayar zakat korporat termasuk wakil Pak Ali Food Industries Sdn Bhd serta Syarikat Hang Tuah Sdn Bhd.
Mohamad berkata, usaha menyantuni asnaf tidak seharusnya terhenti menerusi program berkenaan, sebaliknya perlu diteruskan bukan sahaja di daerah Barat Daya malah di daerah-daerah lain di negeri ini.
Menurutnya, Program tersebut turut melibatkan MAINPP, Zakat MAINPP, Pejabat Agama Daerah Barat Daya, Pertubuhan PEWARIS MAINPP dan Kumpulan Permotoran XMAX Negeri Pulau Pinang.
Sementara itu, seorang penerima, Narina Bashah, 65, dari Titi Teras, di sini ketika ditemui mengakui terharu dengan sumbangan yang diterima dalam meringankan bebannya.
“Rasa terharulah juga terima sumbangan ini, Alhamdulilah rezeki saya dapat,” katanya.
Perkara sama juga dikongsi seorang lagi penerima, Ramlah Mat Noh, 82, yang berkata, sumbangan tersebut dapat membantu menampung kehidupan keluarganya.