Sarawak sapu bersih emas terjun di pusat akuatik

Iklan
Nur Eilisha Rania dan Dayang Nursharzyra yang meraih pingat emas dalam acara tiga meter papan anjal seirama wanita pada Sukma Selangor 2026 di Pusat Akuatik Darul Ehsan, Sabtu. Foto Bernama

SARAWAK menyapu bersih dua pingat emas acara terjun pada Sukan Malaysia (Sukma) 2026 di Pusat Akuatik Selangor di sini, Sabtu menerusi acara 3 meter (m) papan anjal seirama wanita dan 10m platform lelaki.

Pada aksi sebentar tadi menyaksikan gandingan Sarawak, Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj dan Dayang Nursharzyra Awang menjuarai acara 3m papan anjal seirama wanita mengumpul 221.01 mata. 

Iklan
Iklan

Pingat perak menjadi milik gandingan Wilayah Persekutuan yang mengumpul 217.56 mata, manakala Selangor meraih gangsa dengan 209.01 mata.

Bagi Eilisha, kemenangan itu lebih bermakna apabila berjaya mempertahankan emas yang dimenangi mereka pada edisi Sukma lepas, walaupun mengakui saingan kali ini tidak mudah berikutan terdapat pasangan lain dengan tahap kesukaran terjunan lebih tinggi.

Iklan

"Beraksi 3m seirama ini bukan mudah sebab ada yang mempunyai tahap kesukaran lebih tinggi, jadi kami cuma cuba yang terbaik. Alhamdulillah rezeki berpihak kepada kami,” katanya ketika ditemui selepas tamat acara tersebut di sini hari ini.

Dayang pula mengakui berdepan sedikit masalah pada terjunan keempat dan kelima, namun itu tidak menghalang mereka mengekalkan kejuaraan.

Iklan

"Terjunan satu, dua dan tiga agak baik tetapi terjunan keempat dan kelima ada masalah sedikit, namun syukur dapat juga pingat emas,” katanya.

Bagi acara 10m plaftorm lelaki, Elvis Priestly Clement bangkit pada terjunan terakhir untuk mengumpul keseluruhan  397.30 mata, sekali gus mengatasi rakan sepasukannya Jared Aiden Harold (396.20 mata) yang merangkul pingat perak dengan manakala gangsa milik penerjun Sabah, Muhammad Anilrian Normatrud Abdullah (340.65 mata).

Elvis Priestly Clement meraih pingat emas dalam acara 10 meter platform lelaki individu pada Sukma Selangor 2026 di Pusat Akuatik Darul Ehsan. Sabtu. Foto Bernama

Elvis berkata, kejayaannya banyak dipengaruhi faktor kesukaran terjunan yang lebih tinggi, selain mengakui masih melakukan beberapa kesilapan sepanjang saingan dan keletihan selepas beraksi dalam pertandingan selama empat hari berturut-turut.

"Banyak kesilapan yang saya buat tapi masih boleh diperbaiki pada masa depan. Sukan terjun ini bukan berdasarkan kemahiran semata-mata tetapi ia juga bergantung kepada rezeki. Mungkin rezeki saya hari ini dapat nombor satu,” katanya.

Kejayaan itu merupakan pingat emas ketiga Elvis pada Sukma kali ini selepas menjuarai acara 3m papan anjal seirama dan 10m platform seirama bersama Jared.  - Bernama