SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Seramai 14 akar umbi DAP tampil membidas kenyataan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berhubung isu binaan yang didakwa berkemungkinan tidak mematuhi undang-undang.
Menerusi satu kenyataan bersama pada Sabtu, mereka menegaskan seseorang pemimpin bertanggungjawab seharusnya mendidik masyarakat sekiranya sesuatu isu itu melibatkan pelanggaran undang-undang, bukannya mengambil pendirian mempertahankannya.
Menurut mereka, pemimpin juga perlu menyemak fakta serta mengambil pendirian yang tidak berpihak sekiranya terdapat kepentingan masyarakat yang dilihat menyalahi perundangan negara.
"Tiada sesiapa yang 'above the law', tidak terkecuali pemimpin besar negara kerana itu adalah panduan setiap warga Malaysia.
Kumpulan akar umbi terlibat dipercayai membuat kenyataan terbabit dengan merujuk kepada isu perobohan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi, Kangar, Perlis, yang mendapat perhatian Rayer.
Sebelum itu, kenyataan bersama terbabit ditandatangani 14 ahli DAP termasuklah Pengerusi DAP Cawangan Setia Impian, Muhammad Shakir Ameer Mohideen; Pengerusi DAP Cawangan Bandar Baru Bangi, Farhan Haziq; Pengerusi DAP Cawangan Pusat Bandar Shah Alam, Nor Miswary Ramli serta Naib Ketua DAPSY Selangor, Nur Rahim Nasir.
Turut menandatangani kenyataan itu, beberapa pemimpin dan anggota DAP di peringkat cawangan termasuk dari Alam Jaya, Pekan Paloh, Kampung Baru Batu 9 Cheras, Taman Kemuncak, Kampung Tunku SS1, Bandar Baru Bangi, Kampung Baru Pasir Pinji dan Taman Seroja.
Mereka berkata, sebagai rakyat Malaysia yang berpegang kepada prinsip Rukun Negara, khususnya prinsip keempat iaitu Kedaulatan Undang-Undang, setiap pihak perlu menjunjung undang-undang melangkaui kepentingan parti mahupun peribadi.
Menurutnya, konsep rule of law atau kedaulatan undang-undang terbabit telah menjadi pegangan parti sejak sekian lama.
Bagaimanapun, mereka menegaskan bahawa perbincangan bagi mencari penyelesaian terbaik terhadap sesuatu isu tetap perlu dan amat digalakkan demi kesejahteraan bersama.
Kumpulan tersebut mengingatkan ia tidak harus dijadikan alasan untuk menggalakkan pelanggaran undang-undang.
Dalam pada itu, mereka menasihatkan kenyataan dibuat secara melulu oleh seorang pemimpin, lebih-lebih lagi individu yang mempunyai latar belakang perundangan, boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
Menurut mereka, kenyataan sedemikian juga boleh memberi gambaran seolah-olah semua tindakan pencerobohan atas nama agama dibela, sekali gus dikhuatiri menjejaskan hubungan antara agama dan kaum di negara ini.