Jerebu: Semua penerbangan di Lapangan Terbang Singkawang, Kalimantan Barat dibatalkan

Iklan
Jerebu menyelubungi kawasan perumahan di tepi Sungai Kahayan di Palangkaraya, Kalimantan Tengah susulan kebakaran hutan dan tanah yang berlaku secara meluas di pelbagai lokasi di seluruh pulau tersebut. Foto AFP

JAKARTA - Semua penerbangan di Lapangan Terbang Singkawang di wilayah Kalimantan Barat, Indonesia dibatalkan pada Sabtu akibat jerebu, ketika pihak berkuasa meneruskan usaha menangani kebakaran hutan dan tanah di seluruh Kalimantan.

Menerusi infografik yang dimuat naik dalam akaun Instagram rasminya, lapangan terbang yang mengendalikan penerbangan domestik itu memaklumkan keputusan berkenaan dibuat demi keselamatan penerbangan dan menasihatkan penumpang yang terjejas supaya menghubungi syarikat penerbangan masing-masing.

Iklan
Iklan

Singkawang terletak di bahagian barat Borneo Indonesia, kira-kira 145 kilometer di utara Pontianak, ibu kota wilayah berkenaan.

Sementara itu, Kementerian Pengangkutan Indonesia pada Jumaat memaklumkan pihaknya terus memantau asap akibat kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan serta kesannya terhadap operasi penerbangan di beberapa lapangan terbang.

Iklan

Ketua Pengarah Penerbangan Awam, Lukman F Laisa berkata, jarak penglihatan merupakan faktor penting dalam keselamatan penerbangan, dengan penerbangan boleh mengalami kelewatan, dilencongkan atau dibatalkan apabila jarak penglihatan berada di bawah had operasi yang ditetapkan.

"Keselamatan penerbangan menjadi keutamaan. Pengendali dikehendaki membuat penyesuaian apabila keadaan jarak penglihatan tidak memenuhi syarat. Kami terus memantau keadaan dan menyelaras dengan semua pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan.

Iklan

Sementara itu, kementerian berkenaan menerusi kemas kini terbaharu di Instagram memaklumkan pemantauan satelit Terra/Aqua NASA mengesan 56 titik panas berkeyakinan tinggi di Kalimantan Tengah, 51 di Kalimantan Barat dan 19 di Kalimantan Selatan setakat 9.30 malam waktu tempatan pada Jumaat.

Kementerian itu, memetik pemantauan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), memaklumkan beberapa kawasan di Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah mengalami kualiti udara sangat tidak sihat.

Menurut kementerian itu, operasi pemadaman kebakaran dari darat dan udara termasuk pengeboman air sedang dijalankan, manakala operasi modifikasi cuaca telah disiapsiagakan dan akan dilaksanakan apabila keadaan awan sesuai.

Secara berasingan, polis Kalimantan Tengah pada 19 Ogos menamakan kira-kira 12 suspek dalam kes kebakaran hutan dan tanah setakat pertengahan Ogos, lapor agensi berita ANTARA.

Ketua Polis Kalimantan Tengah, Inspektor Jeneral Iwan Kurniawan berkata, semua kebakaran hutan dan tanah di wilayah itu disiasat bagi mengenal pasti punca kejadian serta pihak yang bertanggungjawab, dengan siasatan membawa kepada penamaan suspek dalam beberapa kes. - Bernama