Rekod 109 perlawanan tanpa kalah JDT hasil pembangunan, pelaburan berterusan - Xisco Munoz

Iklan
JDT menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah selepas menewaskan Kuching City FC 3-0 dalam perlawanan Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam tadi. Foto: Bernama

PENCAPAIAN luar biasa Johor Darul Ta’zim (JDT) yang merekodkan 109 perlawanan tanpa kalah dalam liga bola sepak adalah hasil pembangunan dan pelaburan berterusan untuk kemajuan pasukan dalam tempoh 12 tahun ini.

Ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz berkata, penampilan musim keduanya bersama gergasi domestik itu bukan sesuatu yang boleh dicapai dalam sekelip mata sebaliknya transformasi 12 tahun kelab itu yang penuh kegemilangan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pelaburan dalam aspek fasiliti serta komitmen jangka panjang membolehkan JDT berada pada tahap tertinggi sekali gus mencipta sejarah luar biasa dalam arena bola sepak.

“Betapa sukarnya untuk sampai ke tahap ini kerana dalam tempoh 12 tahun lalu, ketika pemilik kelab mengambil alih JDT, bagaimana mahu memperbaiki kelab, membangunkan sukan di Johor untuk mencapai pencapaian seperti ini.

Iklan

“Apa yang dilakukan sebelum ini sehingga sekarang adalah sesuatu yang sangat membanggakan sekali gus membolehkan ramai orang menikmati kejayaan ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan JDT menewaskan Kuching City FC 3-0 dalam Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, di sini pada Jumaat.

Mengulas mengenai kemenangan ke atas Kuching City, Munoz mengakui perlawanan itu berlangsung sengit pada separuh masa pertama.

Iklan

Jurulatih dari Sepanyol itu menganggap, kubu pertahanan Kuching City sangat kuat meskipun berjaya menjaringkan dua gol dalam tempoh dua minit pada babak kedua permainan.

“JDT masih mempunyai beberapa aspek yang perlu diperbaiki ketika pasukan itu terus mencari rentak selepas tempoh pramusim.

“JDT juga perlu meningkatkan keupayaan untuk mengawal fasa-fasa penting dalam perlawanan, khususnya ketika kehilangan penguasaan bola,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak menyifatkan kekalahan pasukannya sebagai satu pengajaran yang amat bernilai.

Beliau berpuas hati dengan persembahan pemain dalam perlawanan berintensiti tinggi itu sambil mengakui, kekuatan JDT di setiap bahagian yang merencatkan sedikit aksi mereka.

“Perlawanan ini amat sukar, khususnya apabila beberapa pemain utama tidak dapat diturunkan atau masih belum mencapai tahap kecergasan perlawanan selepas terlepas aksi pramusim,” ulasnya.

Beliau berkata pasukan itu sudah meneliti kesilapan yang dilakukan sepanjang perlawanan dan akan berusaha memperbaikinya, selain menyatakan persiapan Kuching City turut terjejas akibat isu pengubahsuaian stadium di Sarawak serta kekurangan perlawanan berintensiti tinggi.

“Selepas ini kita memberi fokus kepada dua aksi di tempat lawan menentang Kuala Lumpur dan Kelantan, selain memperkukuhkan pertahanan selepas menurunkan tiga pemain import di bahagian pertahanan pada separuh masa pertama dalam usaha meraih sekurang-kurangnya satu mata ketika berdepan JDT,” katanya.