KAMPAR - Kerajaan Perak bercadang mewujudkan kawasan tagal ikan di daerah Kampar sebagai tarikan baharu pelancongan berasaskan sungai selain membantu memelihara ekosistem serta populasi ikan di kawasan berkenaan.
Exco Komunikasi, Multimedia, NGO Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, cadangan itu akan dibincangkan bersama Jabatan Perikanan, pihak berkuasa tempatan dan Pejabat Daerah Kampar bagi mengenal pasti lokasi sungai yang sesuai.
Menurutnya, usaha berkenaan dilihat mampu menjadi tarikan baharu kepada pelancong, khususnya pemancing dan pencinta alam sekitar untuk berkunjung ke daerah itu.
"Daerah Kampar mempunyai banyak aliran sungai dan di kawasan Sahom sahaja terdapat lebih 20 aliran sungai. Jadi, kita boleh lihat perkara ini sebagai salah satu tarikan terbaru kepada pengunjung.
"Sebelum ini, Kampar terkenal dengan aktiviti white water rafting, namun kini kita mahu memberi fokus kepada pemancing serta pencinta alam sekitar, khususnya dalam aspek konservasi," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata selepas merasmikan program Randuk for Lampam Volume 5 di Sahom Valley Resort di sini pada Sabtu.
Hadir sama Orang Besar Jajahan Kampar, Azman Yeop Junior; Pengarah PlanMalaysia Perak, Datuk Mohamed Zamri Mohd Zain; Pengarah Perikanan Perak, Mohd Ghazali A Manap dan Yang Dipertua Majlis Daerah Kampar, Ahmad Suqairy Alias.
Sementara itu, Mohd Azlan berkata, cadangan mewujudkan tagal itu turut selari dengan usaha memperkenalkan aktiviti memancing secara lestari di negeri ini.
Katanya, program Randuk for Lampam kali kelima itu turut menyaksikan pelepasan lebih 5,000 benih ikan Baung selain ikan Lampam ke sungai berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha pemuliharaan sumber perikanan.
"Program ini menarik kira-kira 150 peserta dari seluruh Malaysia termasuk Singapura dan secara tidak langsung memberi impak ekonomi kepada masyarakat tempatan.
"Ini juga kali pertama persatuan berkenaan bekerjasama secara erat dengan Jabatan Perikanan dan agensi lain termasuk Perak Tourism. Jika program ini berjaya, kita akan usahakan supaya ia dimasukkan dalam kalendar Perak Tourism," katanya.
Menurutnya, aktiviti randuk yang bermula dari Kampung Jahang hingga Kuala Dipang itu meliputi jarak kira-kira 15 kilometer dan dibahagikan kepada beberapa zon dengan setiap kumpulan peserta merandok antara 1.2 hingga 1.5 kilometer.
Beliau berkata, walaupun fokus utama program adalah ikan Lampam, spesies lain seperti Tengas dan Sebarau turut terdapat di kawasan berkenaan.
Jabatan Perikanan pergiat usaha pembenihan ikan loma
KAMPAR - Jabatan Perikanan Perak mempergiat usaha pembenihan ikan loma bagi memastikan spesies ikan air tawar itu terus kekal di perairan negeri ini.
Pengarah Perikanan Perak, Mohd Ghazali A Manap berkata, usaha berkenaan penting susulan populasi ikan loma di Tasik Temenggor yang dipercayai telah pupus selain terdapat gangguan terhadap pembesaran spesies berkenaan di beberapa lokasi lain.
Menurutnya, kerajaan negeri sebelum ini telah memperuntukkan sebahagian dana bagi melaksanakan program pembenihan ikan loma dan pihaknya berjaya menghasilkan benih namun masih dalam peringkat asuhan.
"Kita telah diberi peruntukan tahun lepas dan kerajaan negeri memperuntukkan sebahagian kewangan bagi pembenihan ikan loma kerana ia merupakan spesies yang banyak ditangkap nelayan terutama di Sungai Rui.
"Kalau kita berjaya dalam tahun ini, kita akan buat pelepasan semula bagi mengembalikan populasi ikan loma terutama di Tasik Temenggor. Tasik itu merupakan kawasan paling atas dalam sistem Sungai Perak dan ikan loma di situ sebenarnya sudah lama pupus," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Randuk for Lampam Volume 5 di Sahom Valley Resort, di sini pada Sabtu.
Hadir merasmikan program tersebut, Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi.
Sementara itu Mohd Ghazali berkata, pihaknya turut merancang menjadikan Tasik Temenggor sebagai kawasan baharu stok ikan air tawar bagi negeri Perak melalui program pelepasan ikan loma secara berperingkat.
Katanya, ketika ini ikan loma masih terdapat di Empangan Bersia, Kenering dan sehingga ke Sungai Rui namun beberapa faktor termasuk gangguan ekosistem dipercayai mempengaruhi pembesaran serta populasi spesies berkenaan.
"Kita sudah kenal pasti kawasan yang sesuai dan kejayaan program pembenihan ini akan disokong dengan program pelepasan umum.
"Kita juga akan mewujudkan kawasan santuari ikan air tawar yang besar di Taman Negeri Royal Belum," katanya.
Mohd Ghazali berkata, aktiviti pengambilan telur ikan loma secara berlebihan turut boleh menjejaskan kelangsungan populasinya kerana telur yang diambil tidak berpeluang menetas dan menghasilkan generasi baharu.
Sementara itu, mengenai ancaman ikan asing di perairan Perak, beliau berkata, Jabatan Perikanan melaksanakan program pemburuan dan pengeluaran ikan asing secara berterusan bagi mengawal populasinya.
Katanya, meskipun situasi ketika ini masih dalam kawalan, usaha berkenaan perlu dilaksanakan secara berterusan setiap tahun dengan sasaran jumlah ikan asing yang perlu dikeluarkan dari perairan negeri.
"Ikan asing tidak mempunyai musuh tradisi dan mampu membesar dengan cepat. Bagi ikan asing yang boleh dimakan, kita galakkan nelayan darat menangkap dan menjualnya.
"Namun bagi spesies lain, kita minta ia dilupuskan menggunakan kaedah yang bersesuaian," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Ghazali enggan mengulas mengenai air Sungai Perak bertukar warna menjadi biru yang didakwa menjadi punca ikan di kawasan berhampiran mati.