AMARAVATI - Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun rebah di dalam kelas sebelum meninggal dunia selepas ditampar gurunya kerana tidak menyiapkan kerja rumah di sebuah sekolah swasta di India.
Kejadian di sebuah sekolah di kawasan One Town, Visakhapatnam, Andhra Pradesh pada Khamis itu melibatkan mangsa dikenali sebagai Pranay Teja.
Rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di dalam kelas menunjukkan kanak-kanak itu memegang papan tulis kecil sebelum berdiri dalam barisan di hadapan gurunya.
Dia kelihatan cemas dan menangis ketika guru berkenaan menghampirinya.
Kanak-kanak itu dipercayai merayu supaya tidak dipukul, sebelum guru terbabit menariknya lebih dekat dan menampar pipinya. Beberapa saat kemudian, Teja jatuh pengsan ke arah gurunya.
Kakitangan sekolah yang lain segera dipanggil untuk membantu. Mereka cuba melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sebelum membawa mangsa ke hospital, namun doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia.
Pegawai Bahagian Hasil Visakhapatnam, Sadhu Dileep Chakravarthy berkata, kanak-kanak itu mungkin mengalami serangan jantung kerana panik, namun pihak berkuasa telah mengarahkan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Mayat Teja kemudiannya dibawa ke Hospital King George (KGH) untuk bedah siasat.
Keluarga mangsa memberitahu Teja kelihatan sihat ketika keluar dari rumah malah dia sendiri teruja untuk pergi ke sekolah. - Agensi