WorldTeam, ProTeam rancak persiap barisan ke LTdL26

Iklan
Emir

BEBERAPA pasukan WorldTeam dan ProTeam yang bakal menyertai edisi ke-30 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) kini giat menjalani perlumbaan di Eropah sebagai persiapan menghadapi saingan lapan peringkat dari 27 September hingga 4 Oktober depan.

Antara pasukan itu ialah XDS Astana, Picnic PostNL, Tudor Pro Cycling, TotalEnergies, Bardiani CSF 7 Saber, Unibet Rose Rockets, Caja Rural Seguros RGA, Equipo Kern Pharma dan Burgos Burpellet-BH.

Iklan
Iklan

Pendatang baharu ProTeam dari Amerika Syarikat, Modern Adventure Pro Cycling turut mempergiat program perlumbaan di Eropah bagi menguji tahap kecergasan serta mendapatkan rentak kayuhan terbaik sebelum ke Malaysia.

Ketua Pegawai Operasi (COO) Sekretariat LTdL26, Emir Abdul Jalal berkata, perlumbaan berkenaan penting bagi pasukan membuat penilaian sebelum menentukan pelumba yang paling sesuai menghadapi cabaran LTdL26.

Iklan

“Setiap pengurusan pasti ada kriteria penilaian sendiri untuk memilih pelumba yang dapat mengharungi setiap cabaran, sambil menepati sasaran yang ditetapkan mereka iaitu sama ada mengejar gelaran individu keseluruhan, berpasukan keseluruhan, Raja Bukit atau menguasai beberapa peringkat laluan landai menerusi pakar pecut dan gelaran Raja Pecut,” kata Emir.

Berdasarkan program perlumbaan, lima pasukan LTdL26 kini beraksi di Czech Tour, manakala enam lagi menyertai Arctic Race of Norway selepas beraksi dalam perlumbaan Donostia San Sebastian dan Tour de Pologne.

Iklan

Mereka dijadual meneruskan saingan di Renewi Tour dan Lidl Deutschland Tour, sebelum sebahagian pelumba menyertai Grand Tour terakhir musim ini, Vuelta a Espana.

Pada September, Lloyd’s Tour of Britain, Skoda Tour of Luxembourg dan Croatia Race pula menjadi antara medan terakhir pasukan menilai barisan pelumba sebelum LTdL26.

Emir berkata, walaupun Kejohanan Dunia 2026 di Montreal berlangsung dalam tempoh hampir sama dengan LTdL26, perkara itu tidak menjejaskan peluang pasukan menghantar barisan terbaik ke Malaysia.

“Sama seperti tahun lalu, Kejohanan Dunia di Rwanda juga berlangsung pada tempoh yang sama, tetapi setiap pasukan sudah membuat persediaan awal kerana mereka ada senarai pelumba yang ramai sehingga mencecah lebih 30 orang.

“Jadi tiada masalah untuk pasukan melepaskan pelumba yang diperlukan oleh pasukan negara masing-masing, dan memilih pelumba yang benar-benar bersedia, cergas dan bebas daripada kecederaan untuk dihantar menyertai kejohanan lain seperti LTdL,” kata Emir lagi.

Beliau berkata, senarai awal enam pelumba yang sudah diterima sekretariat masih boleh berubah sehingga saat akhir, berdasarkan keadaan semasa dan keputusan pengurusan pasukan.

“Kami sudah menerima beberapa nama pelumba dalam senarai awal yang mereka hantar tetapi berdasarkan pengalaman, nama-nama ini akan terus berubah hinggalah pada saat-saat sebelum mereka dijadualkan terbang ke Kuala Lumpur,” katanya.

LTdL26 berstatus 2.ProSeries membabitkan jarak keseluruhan 1,285.5 kilometer dan dianjurkan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN), dengan sokongan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).