ASTRO meneruskan peranannya sebagai Penyiar Rasmi Liga Malaysia bagi dua musim akan datang dengan menawarkan siaran langsung berdefinisi tinggi (HD) membabitkan Perlawanan Sumbangsih, Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan MFL Challenge Cup.
Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John berkata, kesinambungan kerjasama itu membuktikan komitmen Astro untuk terus memperkukuh ekosistem bola sepak tempatan dan mendekatkan saingan Liga Malaysia kepada peminat.
“Sebagai Penyiar Rasmi Liga Malaysia, Astro melihat perlawanan ini bukan sekadar sebuah pertandingan bola sepak, tetapi nadi kepada komuniti yang menyatukan penyokong dan menggerakkan keseluruhan ekosistem sukan tempatan.
“Momentum yang kami perhatikan pada musim lalu mengukuhkan keyakinan kami terhadap potensinya. Sooka mencatatkan peningkatan sebanyak 52 peratus dari segi jumlah minit tontonan, manakala kandungan Liga Malaysia di platform digital dan media sosial Astro telah menjana lebih 575 juta tontonan sepanjang tiga musim lalu.
“Peningkatan ini mencerminkan minat yang semakin meningkat terhadap bola sepak tempatan dan menjadi pemangkin kepada usaha kami untuk terus membawa pengalaman tontonan terbaik kepada peminat,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, kesinambungan kerjasama tersebut mencerminkan keyakinan kedua-dua pihak terhadap potensi serta masa depan bola sepak tempatan.
“MFL amat berbesar hati dapat meneruskan kerjasama bersama Astro sebagai Penyiar Rasmi Liga Malaysia. Kesinambungan ini mencerminkan keyakinan kedua-dua pihak terhadap potensi dan masa depan bola sepak tempatan, di samping memastikan saingan Liga Malaysia terus mendapat liputan meluas serta lebih dekat dengan peminat di seluruh negara.
“Kami menghargai komitmen berterusan Astro dalam memperkukuh nilai komersial Liga Malaysia serta ekosistem bola sepak tempatan, dan yakin kerjasama ini akan terus memberi manfaat kepada MFL, kelab-kelab serta komuniti bola sepak Malaysia,” katanya.
Musim baharu turut menyaksikan bekas pemain dan jurulatih, Nidzam Jamil serta Yusri Che Lah menyertai barisan pundit Astro buat kali pertama, melengkapkan barisan sedia ada termasuk Zaquan Adha Abd Radzak, Razman Roslan, Farizal Marlias, Nizaruddin Yusof dan Datuk Zainal Abidin Hassan.
Format studio baharu pula memberi ruang lebih besar kepada barisan pakar untuk mengendalikan rancangan dan perbincangan, dengan Keesh ‘Mat Stats’ dan Faiz Gurun mengendalikan liputan Liga Super, manakala Bang Med mengetuai liputan Piala FA serta Piala Malaysia.
Dalam usaha membangunkan bakat muda, Astro turut meneruskan inisiatif #IniPadangKita yang diperluaskan ke sekolah terpilih, termasuk peluang generasi muda berinteraksi dengan pemain dan mendekati sukan bola sepak.
Kesemua aksi Liga Malaysia boleh ditonton secara langsung menerusi Arena Bola (Saluran 803 dan 804), Astro GO, NJOI dan Sooka, selain perkembangan terkini di Stadium Astro serta media sosial rasmi Astro Arena. Pelanggan juga boleh menikmati Astro X3, pakej penstriman tanpa dekoder, pemasangan atau kontrak, bermula RM39.99 sebulan.