KUALA LUMPUR - Pertemuan terakhir Nur Ermaidayu Ramli, 40, bersama suaminya, Faizu Mukhtar, 51, kira-kira jam 6.30 pagi pada 13 Ogos lalu, tidak menyangka menjadi tatapan terakhirnya sebelum Allahyarham meninggal dunia akibat komplikasi jantung.
Faizu yang juga pemandu e-hailing ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kenderaannya sebelum disahkan meninggal dunia di kawasan letak kereta berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Nur Ermaidayu berkata, beliau menerima panggilan daripada rakan Allahyarham kira-kira jam 9.45 malam memaklumkan suaminya pengsan di dalam kereta, sebelum menerima khabar duka kira-kira 10 minit kemudian bahawa suaminya sudah meninggal dunia.
“Pagi itu tiada apa-apa perubahan pada dirinya. Saya sudah lewat untuk ke tempat kerja dan dia menghantar saya sehingga ke depan pintu. Saya bersalam dengannya dan ketika itu saya perasan dia hanya merenung saya.
“Itulah yang paling saya terkilan kerana langsung tidak menyangka itu kali terakhir saya melihatnya. Sebelum kejadian, dia juga sempat keluar makan bersama anak kami biarpun sudah terlewat ke pusat asuhan,” katanya.
Nur Ermaidayu berkata demikian ketika ditemui sempena kunjungan ziarah ahli jawatankuasa Persatuan Rakan Grab Malaysia (Rakan Grab) bersama wakil Grab Malaysia, pada Sabtu.
Menurutnya, hasil bedah siasat mendapati Allahyarham meninggal dunia akibat komplikasi jantung dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Jalil sehari selepas kejadian.
Allahyarham meninggalkan seorang balu dan anak lelaki berusia empat tahun.
“Saya amat berterima kasih kepada Persatuan Rakan Grab dan wakil syarikat Grab Malaysia yang datang ziarah saya dua beranak bersama sumbangan.
"Saya betul-betul tidak sangka mereka prihatin terhadap keadaan kami.
“Mereka juga akan turut membantu bagi urusan-urusan lain seperti tuntutan Perkeso dan lain-lain urusan berkaitan Allahyarham dan saya amat berterima kasih atas keprihatinan mereka,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Rakan Grab, Shanlee Tan Shamsuri berkata, kunjungan itu diadakan selepas kira-kira seminggu pemergian Allahyarham bagi memberi ruang kepada keluarga menguruskan segala urusan berkaitan dalam suasana lebih tenang, selain menghormati tempoh awal keluarga menghadapi kehilangan insan tersayang.
“Kami memahami bahawa saat-saat awal selepas kehilangan orang tersayang merupakan tempoh yang amat sukar buat keluarga.
“Atas dasar itu, kami memilih untuk memberikan mereka ruang terlebih dahulu sebelum hadir menziarahi dan menyampaikan sokongan secara peribadi,” katanya.
Turut bersama Shanlee ialah tiga ahli jawatankuasa Rakan Grab, Noor Hamisah Mohamed Sha’ari, Simon Seow Jian Wei dan Sures Rau Chandiriah.
Tiga wakil Grab Malaysia turut hadir bagi menyampaikan sumbangan kepada Nur Ermaidayu.
“Kami hadir bukan sekadar sebagai rakan pemandu, tetapi sebagai sebuah keluarga yang turut berkongsi kedukaan atas pemergian Allahyarham, di samping menyampaikan ucapan takziah dan memahami keperluan keluarganya dalam menghadapi saat sukar ini,” katanya.