SHAH ALAM - Kedudukan Islam sebagai Agama bagi Persekutuan seperti yang tertera dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati, di samping kebebasan mengamalkan agama lain terus dijamin dalam suasana aman dan damai.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, kedudukan luhur Perlembagaan serta kerangka jurisprudens Fiqhi menegaskan identiti Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang progresif dan sederhana (moderate).
Menurutnya, kedudukan Islam sebagai tatanegara yang menaungi Malaysia dibuktikan secara sah menerusi beberapa elemen utama, termasuk penzahiran syiar Islam dan kedaulatan Raja-Raja Melayu, kewujudan Mahkamah Syariah serta ekosistem sosioekonomi Syariah, termasuk perbankan Islam dan industri halal.
"Kesemua elemen perundangan, sejarah dan institusi itu bersifat seimbang dan saling melengkapi, sekali gus menafikan sebarang andaian yang mempertikaikan hakikat perlembagaan berkenaan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Dalam pada itu, Zulkifli menegaskan, Islam secara tegas menolak pemikiran ghuluw (melampau), ketaksuban buta dan ekstremisme berasaskan prinsip wasatiyyah (kesederhanaan).
"Pengiktirafan kedudukan Islam di Malaysia tidak menindas penganut agama lain. Malah, ia memelihara hak masyarakat bukan Muslim untuk mengamalkan kepercayaan mereka secara aman dan damai menerusi jaminan Perlembagaan Persekutuan serta prinsip Siyasah Shar’iyyah," katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak supaya lebih berhati-hati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam secara sewenang-wenangnya.
Beliau turut memberi amaran bahawa sebarang kenyataan yang tidak cermat dan provokatif hanya akan membuka ruang manipulasi politik, mencetuskan tindak balas ekstrem serta merosakkan keharmonian dan kestabilan negara.