SHAH ALAM - Selangor tidak mahu sekadar menjadi ‘Singapore of Asia’, sebaliknya menyasarkan potensi muncul sebagai Tokyo, Shanghai atau Dubai di Asia Tenggara menerusi kekuatan ekonomi, teknologi, pelabuhan dan kemudahan yang dimiliki negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kekuatan Selangor yang mempunyai kemudahan serta infrastruktur lengkap memberi ruang untuk negeri itu membentuk identiti ekonomi tersendiri di rantau Asia Tenggara.
Beliau berkata, Selangor tidak semestinya perlu meniru model Singapura, sebaliknya boleh mengambil inspirasi daripada bandar ekonomi dunia lain seperti Tokyo, Osaka, Shanghai atau Dubai.
"Kita bukan saja menjadi hanya Tokyo, tetapi seperti Osaka atau pun kita boleh jadi Shanghai sebagai pusat teknologi dan sebagainya.
"Dengan kekuatan kita, atau pun Shanghai, maknanya ada pelabuhan Shanghai, atau pun boleh jadi Dubai sebab ada pelabuhan di Abu Dhabi dengan kelengkapan serta kemudahan yang ada di Selangor," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ketua Pengarang Sinar Harian, Zamri Rambli mengenai hala tuju Selangor di bawah Rancangan Selangor Kedua (RS-2) termasuk sasaran menerajui ASEAN pada Sesi Libat Urus bersama Ketua Pengarang Media di sini pada Jumaat.
Menurut Amirudin, perbandingan Johor dengan Singapura sebagai ‘Singapore of Asia’ mempunyai konteks tersendiri kerana kedua-duanya sudah mempunyai pembangunan dan kepadatan ekonomi yang kukuh.
Beliau menjelaskan, Selangor pula mempunyai kekuatan berbeza yang boleh dijadikan asas untuk membangunkan model ekonomi yang lebih sesuai dengan karakter negeri itu.
Mengulas lanjut, ujar beliau, kekuatan utama Selangor adalah sumber manusia dan aktiviti ekonomi yang berkembang berdasarkan kemahiran serta keupayaan penduduknya.
Katanya, negeri itu turut mempunyai ekosistem pendidikan, teknikal dan vokasional yang berkembang secara organik bagi menyokong keperluan industri.
"Kita ada majlis universiti secara organik sudah tumbuh, selain negeri ada bantu sedikit dalam teknikal dan vokasional serta ada hasil,” jelas beliau.
Beliau berkata, kekuatan ekonomi Selangor perlu terus menjadi fokus utama dalam menjayakan RS-2 kerana ia merupakan asas kepada pembangunan negeri.
Amirudin berkata, masyarakat juga perlu memahami gambaran besar pembangunan Selangor, bukan hanya menilai kerajaan berdasarkan sesuatu isu atau masalah setempat.
Beliau berkata, kedudukan Selangor sebagai negeri dengan aktiviti ekonomi yang tinggi menyebabkan tuntutan rakyat terhadap kerajaan negeri turut sangat tinggi.
"Permintaan itu memang sangat tinggi, ia tidaklah mudah," tambah beliau