Selangor semak semula sasaran kualiti udara - Amirudin

Iklan
Amirudin

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mahu menyemak semula sasaran berkaitan kualiti udara berikutan cabaran pencemaran itu yang dipercayai berpunca dari negara jiran.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu perlu dinilai semula kerana kerajaan negeri tidak mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap pencemaran udara yang datang dari luar negara.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, keadaan itu berbeza dengan pencemaran yang berpunca daripada aktiviti dalam negeri seperti pembakaran terbuka.

Amirudin berkata, kerajaan negeri perlu mengambil kira faktor yang berada di luar bidang kawalan negeri ketika menilai sasaran berkaitan kualiti udara.

Iklan

Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin memaklumkan, penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 setakat ini berjalan lancar apabila aduan membabitkan aspek teknikal pertandingan, penginapan dan makanan daripada kontinjen dilaporkan berkurangan.

Beliau berkata, keadaan itu termasuk dari segi keselesaan penginapan kontinjen yang diberikan kebebasan memilih lokasi masing-masing.

Iklan

Ujar beliau, kerajaan negeri turut menyediakan subsidi penginapan bagi membantu kontinjen sepanjang temasya berkenaan.

"Konsep kita memberikan kebebasan kepada kontinjen untuk memilih lokasi dengan memberikan subsidi tempat tinggal dan setakat ini sangat terkawal," jelas beliau.

Amirudin berkata, aduan berkaitan aspek teknikal pertandingan juga dilihat jauh berkurangan berbanding edisi SUKMA terdahulu.

Katanya, keadaan itu hasil penambahbaikan yang dibuat dalam pengurusan temasya berkenaan.

"Sepanjang saya terlibat dalam SUKMA sebagai Exco sukan, kita dapati aduan-aduan yang melibatkan teknikal permainan itu sangat berkurang berbanding edisi-edisi yang lepas," jelas beliau.

Amirudin memberitahu, sambutan penonton terhadap temasya itu juga menggalakkan walaupun tiada siaran langsung menerusi televisyen.

Menurut beliau, pertandingan itu masih boleh diikuti menerusi YouTube dan platform digital lain, selain kehadiran penonton di venue masing-masing turut memberangsangkan.

"Ini juga menjemput kehadiran penonton yang lebih menggalakkan daripada venue masing-masing," tambahnya.

Bagaimanapun, Amirudin berkata, pihaknya tetap berharap tiada perkara tidak diingini berlaku sepanjang SUKMA berlangsung.

Beliau turut menyampaikan ucapan takziah berikutan beberapa insiden membabitkan peserta yang meninggal dunia akibat kemalangan dan masalah kesihatan.