Selangor fokus bangunkan indeks kehidupan bermaruah - Amirudin

Iklan
Amirudin (dua dari kiri) melakukan simbolik perasmian pada Majlis Pelancaran RS-2 di sini Jumaat.

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor merancang dan memberi tumpuan membangunkan indeks kehidupan bermaruah bagi mengukur tahap kehidupan rakyat serta menilai keberkesanan bantuan dan sokongan yang disalurkan kepada isi rumah.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, indeks itu antara pendekatan baharu kerajaan negeri untuk menilai pencapaian ekonomi berdasarkan realiti kehidupan rakyat, bukan semata-mata melalui pertumbuhan ekonomi dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kerajaan negeri mahu mengenal pasti tahap pendapatan yang wajar diperlukan rakyat untuk menjalani kehidupan di kawasan bandar di Selangor.

"Kita merupakan penggerak utama ekonomi, pencapaian KDNK yang baik dan kadar pengangguran rendah.

Iklan

"Tetapi kita mencabar diri bukan hanya melihat kepada taraf ekonomi, tetapi kita cuba mewujudkan indeks wajar atau pun ekonomi bermaruah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Rancangan Selangor Kedua (RS-2) di sini pada Jumaat.

Iklan

Amirudin pada 7 Ogos lalu membentangkan RS-2 2026-2030 mengandungi 98 inisiatif menerusi enam misi dan 25 bidang keutamaan sebagai pelan pembangunan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.

Pelaksanaan RS-2 disasarkan untuk menjadikan Selangor negeri pertama di Malaysia yang mencapai nilai ekonomi RM500 bilion.

Amirudin berkata, data dan kajian berkaitan pendapatan wajar itu sudah tersedia dan akan membantu kerajaan negeri menyusun semula bentuk sokongan serta bantuan mengikut keperluan rakyat.

Katanya, pendekatan itu penting kerana Selangor mempunyai keadaan, permintaan dan cabaran kehidupan yang berbeza mengikut kawasan.

"Data itu atau pun kajiannya juga telah ada dan di situ nanti kita akan agihkan semula sokongan dan bantuan kita.

"Negeri kita rencam, permintaannya tinggi dan ada cabaran tersendiri," jelas beliau.

Dalam perkembangan sama, Amirudin berkata, RS-2 turut melalui proses semakan selepas tempoh dua tahun bagi mengambil kira perubahan struktur, program serta projek baharu yang mungkin diperlukan.

Katanya, kerajaan negeri turut mengambil pengajaran daripada pelaksanaan rancangan terdahulu dengan memberi tumpuan kepada tiga perkara utama iaitu mempercepatkan kerangka pemantauan, pelaksanaan projek di peringkat bawah dan pembiayaan.

"Sebelum ini ia tidak ada dalam perancangan pertama dan sekarang kita sedang berunding dengan beberapa institusi kewangan supaya menjadi pemudah cara untuk pembiayaan projek yang akan dilakukan," tambah beliau