CAKNA terus kukuh dalam industri pembinaan negara

Iklan
Mahkamah Kota Bharu yang siap dibina setahun lebih awal menjadi mercu tanda kecemerlangan CAKNA dalam industri pembinaan.

Mahkamah Kota Bharu yang siap dibina setahun lebih awal menjadi mercu tanda kecemerlangan CAKNA dalam industri pembinaan.

KOTA BHARU - Bermula dengan bayaran pertama hanya RM500 ketika bergelar kontraktor Kelas F, Pengarah Urusan Cakna Enterprise Sdn Bhd (CAKNA), Datuk Syed Akmal Syed Yusuf Al Bukhary kini menerajui syarikat yang berkeupayaan membida projek bernilai sehingga lebih RM1 bilion.

Iklan
Iklan

Lebih tiga dekad membina empayar dalam bidang pembinaan, anak kelahiran Rantau Panjang itu membuktikan kejayaan tidak hadir secara mudah, sebaliknya dibina melalui disiplin, pengurusan kewangan yang ketat serta prinsip untuk menyiapkan sendiri setiap projek yang diperoleh.

CAKNA yang ditubuhkan pada 1996 bermula dengan hanya empat pekerja sebelum berkembang kepada 60 kakitangan ketika ini, dengan syarikat kekal memberi tumpuan kepada bidang pembinaan.

Iklan

Perjalanan itu bermula selepas Syed Akmal, 57, menamatkan Diploma Kejuruteraan Elektronik di Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebelum bekerja selama tiga tahun dengan Telekom Malaysia dan kemudiannya memilih bidang kontraktor sebagai laluan kerjaya.

Syed Akmal optimis CAKNA akan terus berdaya saing dengan syarikat tempatan lain dalam menerokai industri pembinaan negara.

Iklan

"Saya berhenti kerja dan masuk bidang kontraktor kerana mahu jadi usahawan. Pada peringkat awal, CAKNA hanya menjalankan kerja pendawaian telefon dari rumah ke rumah dan pejabat ke pejabat.

"Selepas itu, syarikat memperoleh kontrak penyelenggaraan telefon awam oleh Telekom di Kelantan dan berjaya mengurus kira-kira 3,800 telefon awam," katanya ketika ditemui di Wisma Cakna Kabal Syed di Kampung Cherang, di sini.

Beliau tekad memperolehi lesen syarikat secara berperingkat sehingga mampu bersaing bagi projek pembinaan berskala besar, termasuk projek sekolah, institusi pengajian tinggi, hospital dan kompleks kerajaan.

Ujar beliau, antara projek yang menjadi titik penting dalam perkembangan CAKNA ialah pembinaan Sekolah Kebangsaan Jelawat 2 bernilai kira-kira RM14 juta, diikuti projek UiTM Machang bernilai sekitar RM45 juta dan pembangunan blok pentadbiran, trauma dan dobi Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) yang bernilai kira-kira RM96 juta.

Jelas beliau, syarikatnya turut mencipta rekod tersendiri apabila berjaya menyiapkan Kompleks Mahkamah Kota Bharu kira-kira setahun lebih awal daripada tempoh ditetapkan, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai kontraktor yang mampu menyiapkan projek mengikut jadual.

Bangunan Tambahan Kolej Matrikulasi Kelantan di Selising, Pasir Puteh merupakan antara projek yang disiapkan oleh CAKNA.

Projek itu juga turut mendapat beberapa anugerah di antaranya ialah pengiktirafan 4 bintang bagi penilaian PhJKR dan juga mendapat Anugerah Kontraktor Cemerlang.

Tambah beliau, CAKNA berjaya dalam tender menyiapkan projek sakit Hospital Bachok Kelantan dan ia disiapkan dalam tempoh dua tahun.

CAKNA catat pelbagai kejayaan

Syed Akmal memberitahu, kelebihan utama CAKNA ialah mengurus dan melaksanakan kerja dengan kekuatan pasukan serta aset sendiri.

"Dalam pembinaan, kira-kira 70 peratus kos adalah material dan 30 peratus lagi tenaga kerja. Saya mengutamakan logistik, bekalan bahan dan pengurusan tapak supaya projek tidak terganggu.

"Pendekatan itu turut diuji ketika harga bahan binaan melonjak selepas pandemik Covid-19. Kami tetap meneruskan projek Rumah Keluarga Angktan Tentera (RKAT) Jeli, Hospital Bachok, Sekolah Menengah Berasrama Penuh Integrasi Tanah Merah dan Bangunan Tambahan Matrikulasi Pasir Puteh sehingga berjaya disiapkan.

“Alhamdulillah pada tarikh 17 Ogos 2026, dua projek dapat diserahkan dalam masa satu hari oleh satu kontraktor iaitu projek Sekolah Menengah Berasrama Penuh Integrasi Tanah Merah dan Bangunan Tambahan Matrikulasi Pasir Puteh," katanya.

Menurut beliau, prinsip lain yang menjadi kekuatan syarikat ialah menjaga pembayaran kepada subkontraktor dan pembekal kerana mereka dianggap sebagai 'nadi' kepada kelangsungan operasi pembinaan.

"Sejak tahun 2000, saya tiada hutang dan menjaga pembayaran subkontraktor dan pembekal. Jika mereka tidak dibayar, bagaimana kita mahu mereka terus bekerja dengan kita," katanya.

CAKNA sedia bersaing dalam projek berskala besar

Kejayaan yang dicipta CAKNA pada hari ini adalah sokongan daripada isteri, anak-anak serta kakitangan selain pemain industri pembinaan dan subkontraktor.

Kini, CAKNA menyertai tender projek bernilai ratusan juta ringgit, termasuk projek pembinaan antaranya Projek Hospital Patologi di Hospital Raja Perempuan Zainab Kota Bharu Kelantan, Projek PFI membina asrama UMK Bachok untuk 3000 pelajar dan UMK Jeli untuk 1000 pelajar dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Melaka.

Beliau berkata, syarikat itu turut melepasi peringkat kelayakan bagi tender Pusat Kanser Sarawak yang dianggarkan bernilai sekitar RM1.2 bilion, antara projek terbesar pernah dibidanya setakat ini.

Bagaimanapun Syed Akmal berkata, CAKNA turut memberi ruang kepada kontraktor lain, khususnya bagi projek bernilai RM50 juta ke bawah ketika syarikatnya masih mempunyai projek yang sedang dilaksanakan.

Beliau bersama rakan kongsi yang merupakan isterinya, Norliza Mohamad Yazid menjadikan prinsip ‘jaga agama’ sebagai asas dalam mengurus perniagaan dan kehidupan.

“Kejayaan lebih bermakna apabila dapat dikongsi bersama, termasuk melalui pemberian bonus kepada kakitangan, menjaga kebajikan pekerja serta membantu masyarakat dan institusi agama, kerana rezeki yang diperoleh bukan untuk dinikmati seorang diri,” katanya.

Selepas 30 tahun CAKNA beroperasi, beliau kini mahu melihat lebih ramai kontraktor tempatan yang benar-benar melaksanakan sendiri projek mampu berkembang dan bersaing di peringkat nasional, sekali gus membuktikan syarikat tempatan juga mempunyai keupayaan mengendalikan projek mega dengan cemerlang.