JOHOR BAHRU - Enam warga tempatan termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret Johor Bahru pada Jumaat atas empat pertuduhan menculik, mengurung, menyamun dan mencederakan pasangan kekasih warga Singapura awal bulan ini.
Tertuduh terdiri daripada M Balamurugam, 46; K Saravanan, 40; P Sri Devi, 41; G Puganeswaran, 38; S Gobinath, 38; dan X Adwin Nicholas, 41.
Kesemua mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Aziati Jaafar.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama dengan niat menculik Al-Shameer B Abdul Nassar dengan tujuan meminta wang tebusan sebanyak S$20,000 (RM63,000), di hadapan sebuah gereja di No 22, Jalan Orkid, Skudai, jam 2 petang, 8 Ogos lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Tiada jaminan ditawarkan Timbalan Pendakwa Raya, R Nevina kerana kesalahan tersebut tidak boleh dijamin dan merupakan kesalahan berat.
Bagaimanapun, peguam K Veeranesh yang mewakili Sri Devi memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin atas alasan tertuduh mempunyai enam orang anak berusia setahun hingga 22 tahun dan tidak bekerja.
Mahkamah kemudian membenarkan semua tertuduh diikat jamin RM50,000 setiap seorang dengan dua penjamin.
Mereka turut dikenakan syarat tambahan supaya tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah jika ada.
Dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Madihah Zainol, Balamurugam, Saravanan dan Gobinath turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan membabitkan seutas rantai leher emas serta jam tangan jenama Rolex milik mangsa sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan dalam sebuah kenderaan di sekitar Johor Bahru Utara kira-kira jam 2 petang pada 8 Ogos lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Walaupun pendakwaan tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM9,000.
Sementara itu, di hadapan Majistret, A Shaarmini, kesemua enam tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melarikan wanita warga Singapura, Zaylen Zayraelle Xie Manting, dengan niat mengurung secara rahsia dan salah.
Perbuatan itu didakwa berlaku di Blok C-03-06, Pangsapuri Skudai Villa, Jalan Aman, Taman Skudai Baru serta beberapa lokasi lain antara 8 hingga 11 Ogos lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 365 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun dan denda.
Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin dan memerintahkan Sri Devi, Gobinath dan Saravanan untuk menyerahkan pasport.
Dalam pada itu, dua tertuduh, Saravanan dan Puganeswaran didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah mencederakan Al Shameer Abdul Nassar menggunakan pisau di Blok C-03-06, Pangsapuri Skudai Villa, Jalan Aman, Taman Skudai Baru antara 10 pagi sehingga 1 tengah hari, 11 Ogos lalu.
Pertuduhan dibuat di hadapan Majistret, Nurzihan Abdul Rehman yang memerintahkan penjara enam bulan jika kedua-dua tertuduh gagal membayar denda berkenaan.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan penjara 10 tahun, denda dan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Mahkamah menetapkan 23 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.