Lewat agihan baja MADA: Kerajaan didesak laksana ganti rugi kepada pesawah

Iklan
Selain ganti rugi, Mardhiyyah menegaskan, kerajaan perlu memastikan bekalan baja dihantar segera kepada pesawah yang terjejas.

ALOR SETAR - Kerajaan perlu mempertimbangkan bayaran ganti rugi kepada pesawah yang mengalami kerugian akibat kelewatan pengagihan Baja Sebatian Tambahan atau Baja Padi 3 di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Mardhiyyah Johari berkata, itu antara tiga tindakan segera perlu diambil bagi menyelesaikan isu berkenaan termasuk memastikan bekalan baja dihantar segera kepada pesawah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan juga perlu memastikan pesawah yang mengalami kerugian akibat kelewatan berkenaan mendapat ganti rugi selain mengambil tindakan tegas terhadap syarikat yang gagal mematuhi terma perjanjian pembekalan.

“Kedua, kerugian petani mesti dibayar ganti rugi. Ketiga, kerajaan perlu ambil tindakan terhadap syarikat yang gagal patuhi terma perjanjian sehingga menyebabkan masalah serius ini berlaku,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian mengulas laporan media pada 13 Ogos lalu, lebih 50 pesawah di PIDA 15, Jerlun turut menyertai Himpunan Bersih bagi mendesak isu kelewatan pembekalan baja berkenaan diselesaikan segera.

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, kelewatan Baja Padi 3 membimbangkan kerana input berkenaan diperlukan ketika tanaman padi memasuki peringkat reproduktif antara usia 40 hingga 60 hari bagi membantu pembentukan tangkai dan pengisian buah.

Iklan

MADA dalam kenyataannya pula berkata, setakat 18 Ogos, sebanyak 137,560 beg daripada keseluruhan 616,015 beg Baja Sebatian Tambahan telah dibekalkan bersamaan 22 peratus.

Menurutnya, baki 478,455 beg perlu dibekalkan bagi memenuhi keperluan kira-kira 38,000 pesawah melibatkan keluasan tanaman sekitar 78,117 hektar dan pihaknya mempergiat pemantauan selain mengarahkan pembekal mengemukakan jadual pembekalan secara harian serta mingguan.

Jelas Mardhiyyah, berdasarkan maklumat diterima, terdapat pesawah terpaksa menangguhkan kerja di sawah, manakala sebahagian lain menggunakan wang sendiri bagi mendapatkan bekalan input yang diperlukan.

Menurutnya, pesawah sudah berdepan pelbagai cabaran dan kos pengeluaran yang tinggi, justeru mereka tidak sepatutnya dibebankan lagi dengan kelewatan bekalan baja.

“Sehingga kini pengedaran baja itu di kawasan MADA hanya sekitar 20 peratus. Mana lagi 80 peratus? Bila petani hendak dapat.

“Sudahlah buat bendang tidak untung mana pun, kerja teruk, susah, yang untungnya kita sebab dapat makan nasi hasil kerja keras petani,” ujarnya.

Tambah Mardhiyyah, tindakan undang-undang wajar dipertimbangkan sekiranya syarikat membekalkan baja terbukti gagal memenuhi terma perjanjian sehingga menyebabkan pesawah mengalami kerugian.

“Pesawah bukan pihak yang tandatangan perjanjian dan jika peruntukan itu daripada kerajaan, secara logiknya kerajaan yang tandatangan perjanjian dengan syarikat yang diberikan tanggungjawab edar baja kepada pesawah.

“Sekiranya syarikat gagal tunaikan terma perjanjian, gagal serah baja tepat pada masanya sehingga menyebabkan petani rugi dan imej kerajaan terjejas, maka kerajaan kena ambil tindakan undang-undang,” katanya lagi.