PUTRAJAYA - Kegiatan sindiket penipuan dalam talian yang menggunakan kediaman mewah di kawasan terpencil sebagai pusat operasi terbongkar selepas 21 individu ditahan dalam serbuan di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Nilai Negeri Sembilan.
Operasi khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada Rabu lalu itu turut membongkar kegiatan sindiket yang dipercayai memperdaya mangsa di luar negara menerusi taktik ‘love scam’ selain menjual barangan palsu menggunakan platform media sosial.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi bermula kira-kira jam 5.55 petang selepas pihaknya menjalankan risikan selama sebulan berdasarkan maklumat awam.
Menurutnya, sepasukan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas bersama Bahagian Keselamatan dan Pasport, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya digerakkan ke KLIA Terminal 1 sebelum menahan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai ahli sindiket.
"Turut ditahan dua warga China terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 50 hingga 53 tahun
"Siasatan awal mendapati sindiket menguruskan kemasukan warga asing ke Malaysia dan menyasarkan warga China yang dipercayai telah disenarai hitam JIM," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Zakaria berkata, suspek yang disenarai hitam dipercayai memiliki dua pasport China dengan nombor berbeza, manakala pasport yang tidak disenarai hitam digunakan untuk melepasi pemeriksaan melalui e-Gate di KLIA.
"Hasil pemeriksaan menemukan pasport China yang telah disenarai hitam di dalam beg suspek," katanya.
Beliau berkata, lelaki tempatan yang ditahan dipercayai berperanan menghantar warga China berkenaan ke lokasi ditetapkan dengan bayaran antara RM150 hingga RM500 seorang bergantung kepada destinasi.
Katanya, JIM turut menyita beberapa pasport China, telefon bimbit dan sebuah kenderaan jenis Proton X70 yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.
"Hasil soal siasat membawa pasukan operasi ke sebuah premis kediaman di Taman Desa Melati, Nilai sebelum menahan empat individu yang dipercayai dalang utama iaitu tiga warga China dan seorang warga Rusia.
"Turut ditahan 14 ahli sindiket terdiri daripada warga China, Vanuatu, Pakistan, India dan Myanmar berusia lingkungan 23 hingga 33 tahun," katanya.
Menurutnya, semakan awal mendapati warga asing berkenaan memasuki Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial.
"Pemeriksaan di premis terbabit turut membawa kepada penyitaan puluhan pasport pelbagai negara, komputer meja, komputer riba, telefon bimbit serta wang tunai RM4,800 yang dipercayai hasil kegiatan berkenaan," katanya.
Zakaria berkata, sindiket terbabit dipercayai menjalankan operasi penipuan dalam talian sejak awal tahun dengan menggunakan skrip tertentu bagi memperdaya mangsa di luar negara.
Katanya, mereka menggunakan platform Telegram dan WhatsApp untuk memperdaya mangsa menerusi taktik ‘love scam’ serta menawarkan barangan palsu pada harga yang menarik.
"Ahli sindiket diberikan komisen berdasarkan jumlah mangsa yang berjaya diperdayakan dan kegiatan itu dipercayai mampu mengaut keuntungan sehingga AS$50,000," katanya.
Beliau berkata, ahli sindiket warga tempatan serta empat individu yang dipercayai dalang utama ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.
"Warga asing lain pula ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
"Kesemua mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut," katanya.