SHAH ALAM - Kegiatan mencuci pasir secara haram di kawasan seluas kira-kira 0.64 hektar di Jalan Lapangan Terbang Subang Lama di sini yang dipercayai menyebabkan pencemaran sungai, dibongkar pihak berkuasa pada Khamis.
Operasi menerusi Op Gali Mega itu digerakkan Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, serbuan kira-kira jam 3.30 petang itu membawa kepada penahanan 12 lelaki termasuk tujuh warga asing.
Menurutnya, pihaknya turut merampas kira-kira 1,500 tan pasir selain beberapa jentera berat serta peralatan mencuci dan memproses pasir dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM5 juta.
"Kegiatan perlombongan secara tidak sah ini disyaki telah beroperasi kira-kira lapan tahun.
"Modus operandi yang dikesan ialah membawa pasir yang tidak digunakan dari luar seperti tempat pembinaan ke sini sebelum diproses semula bagi mendapatkan pasir halus.
"Pasir halus yang diproses menggunakan sumber air sungai berhampiran itu kemudian dijual semula dengan harga RM600 selori dan dikatakan sebanyak 30 hingga 60 lori akan bergerak keluar (dijual)," katanya kepada pemberita di lokasi operasi di sini pada Khamis.
Hakemal berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengesan dalang yang mengendalikan kegiatan berkenaan.
Beliau berkata, aktiviti itu turut memberi kesan terhadap alam sekitar apabila menyebabkan air sungai berhampiran berubah menjadi keruh akibat pencemaran.
"Operasi kegiatan ini dikesan berjalan pada waktu siang. Kita akan menyiasat ke mana sumber penjualan pasir tersebut," ujarnya.
Lokasi serbuan itu antara tujuh kawasan yang digempur Op Gali Mega oleh Briged Tengah PGA di sekitar Selangor, Negeri Sembilan serta Johor dengan sitaan mencecah RM13.2 juta sejak Rabu.
Tambah Hakemal, seramai 31 individu diperiksa dalam operasi berkenaan sebelum 15 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan.
"Kejayaan ini merupakan hasil risikan serta pemantauan berterusan. Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan menyalahi undang-undang.
"PGA akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab bagi menjaga keselamatan negara serta ketenteraman awam. Masyarakat diseru menyalurkan maklumat sebarang kegiatan mencurigakan di kawasan masing-masing," katanya.
Kes disiasat di bawah Akta Kanun Tanah Negara 1965, Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Undang-Undang Kecil 2021.