GEORGE TOWN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lima individu termasuk seorang pengerusi agensi kerajaan bergelar Datuk kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dalam urusan pelupusan tanah milik sebuah agensi kerajaan di bawah kementerian di Pulau Pinang.
Selain pengerusi berusia lingkungan 50-an itu, turut ditahan ialah dua pengarah syarikat, seorang pengurus teknikal dan seorang kerani wanita yang kesemuanya berusia antara 40 hingga 50-an.
Menurut sumber, pengerusi berkenaan disyaki menyalahgunakan kedudukannya ketika menjadi Timbalan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah agensi terbabit bagi meluluskan penjualan lapan lot tanah di Seberang Perai Selatan pada 2015.
Tanah berkenaan dipercayai dijual kepada sebuah syarikat yang disyaki mempunyai kaitan dengan sekutu suspek.
“Siasatan mendapati suspek dipercayai terlibat dalam proses kelulusan penjualan tanah berkenaan pada harga lebih rendah daripada nilai pasaran sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM1.96 juta,” katanya.
Sumber berkata, kelima-lima suspek ditahan secara berperingkat antara jam 11 pagi hingga 12 tengah hari di Pejabat SPRM Pulau Pinang pada Khamis.
“Kesemua mereka dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Georgetown pagi ini bagi permohonan reman,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.