Anak Pahang diajak kongsi idea

Iklan
Mohamad Nizar

KUANTAN - Anak Pahang khususnya perantau di Lembah Klang dialu-alukan untuk berkongsi pandangan, cadangan dan idea baharu bersama kerajaan negeri menerusi program Town Hall Rakyat yang akan berlangsung di Dewan Karangkraf, Shah Alam, Jumaat ini.

Program eksklusif dengan kerjasama kerajaan negeri Pahang itu merupakan wadah penting dalam mewujudkan komunikasi dua hala antara kerajaan negeri dan rakyat.

Iklan
Iklan

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib yang juga tetamu khas program tersebut berkata, program berkenaan bukan sahaja memberi ruang kepada kerajaan negeri menjelaskan perkembangan, perancangan dan segala inisiatif untuk rakyat, malah membuka peluang kepada orang ramai mengemukakan pandangan dan cadangan.

Menurutnya, matlamat Town Hall Rakyat kali ini lebih kepada perkongsian dan pencerahan mengenai dasar kerajaan negeri, belanjawan, aspek pembangunan dan sosial termasuk dalam konteks pelaburan serta pelbagai insentif dan kutipan hasil negeri yang akan dipulangkan kepada rakyat.

Iklan

“Pada masa sama, kita mahu mendapatkan input daripada orang ramai kerana pandangan daripada rakyat amat penting bagi memastikan pelaksanaan dasar dan polisi kerajaan negeri dapat diperkemaskan serta mengambil kira keperluan sebenar masyarakat.

“Selain mengambil kira pandangan pemikir dalam kerajaan, kita (kerajaan negeri) turut mengambil kira idea anak Pahang dalam kalangan profesional, akademik, teknokrat dan masyarakat umum,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Mohamad Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, Pekan berkata, ramai anak Pahang di perantauan terdiri daripada golongan profesional, akademik dan teknokrat.

“Jadi, ini peluang untuk kita semua berjumpa, berdiskusi secara lebih ilmiah berkaitan polisi serta dasar kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata, kepakaran anak Pahang di perantauan dalam pelbagai bidang seperti perbankan, teknologi tinggi, penyelidikan dan perkhidmatan awam merupakan aset yang wajar dimanfaatkan bagi membantu pembangunan negeri.

Menurutnya, satu kerugian sekiranya kerajaan negeri tidak mendekati golongan berkenaan kerana mereka mempunyai pengalaman serta idea yang boleh menyumbang kepada kemajuan Pahang.

Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat Pahang khususnya yang berada di perantauan supaya mengambil peluang menyertai program tersebut bagi berkongsi buah fikiran mengenai usaha memperkukuh pentadbiran dan pembangunan negeri.

“Kita mahu mencari idea baharu yang menarik untuk meningkatkan lagi kemajuan ekonomi di Pahang, seterusnya meningkatkan hasil kerajaan negeri yang akan dipulangkan kepada rakyat,” katanya.

Program yang dijadualkan bermula jam 8.30 malam dan disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian itu akan dihoskan pelakon popular, Fikry Ibrahim.

Ia dijangka turut dihadiri sebahagian barisan Exco Pahang, ketua-ketua jabatan, pemain industri serta tokoh korporat dalam pelbagai bidang.