Kenya buka pavilion sulung di MAHA 2026

Iklan
Mohamad bercakap pada sidang media selepas Program Media Tour MAHA 2026 di MAEPS, Serdang pada Khamis. Foto: Bernama

SERDANG – Kenya bakal membuka pavilion buat kali pertama sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, dari 28 Ogos hingga 6 September.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penyertaan Kenya merupakan antara perkembangan yang memperkukuhkan usaha menjadikan MAHA sebagai platform bertaraf antarabangsa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, MAHA 2026 melibatkan penyertaan dari 14 negara luar selain kehadiran menteri dan timbalan menteri pertanian dari beberapa negara.

“Pempamer daripada luar negara tahun ini 14 buah negara termasuk pertama kali daripada negara Afrika. Kenya akan membuka pavilion dan juga ramai menteri pertanian dan timbalan menteri pertanian akan hadir ke MAHA kali ini,” katanya ketika sidang akhbar selepas meninjau persiapan MAHA 2026, di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, menerusi inisiatif MAHA Go Global, penganjuran tahun ini turut membawa masuk 40 pembeli antarabangsa bagi membuka ruang kepada usahawan tempatan membina jaringan serta meneroka pasaran luar negara.

Katanya, peluang berkenaan penting bagi memastikan manfaat yang terhasil daripada penganjuran MAHA dapat diteruskan selepas acara berkenaan berakhir.

Iklan

“Kita mahu peluang yang tercipta di MAHA dapat diteruskan selepas acara ini berakhir,” katanya.

Dalam pada itu, MAHA 2026 bukan sahaja memberi tumpuan kepada pemain industri dan pengunjung dari luar negara, malah menyediakan pelbagai tarikan untuk keluarga dan masyarakat umum.

Antara tarikan yang diketengahkan ialah Perkampungan Abang Mat yang menampilkan aktiviti berkaitan warisan makanan tradisional, rewang, permainan tradisional serta masakan tradisional sepanjang 10 hari penganjuran.

Mohamad berkata, konsep perkampungan itu diadakan secara santai dan informatif dengan program berbeza disusun pada setiap hari bagi memberikan pengalaman kepada pengunjung.

“Ia bukan pertama kali tapi kali ini dia lebih agresif lagi. Sebelum ini ada satu program, tapi hari itu Perkampungan Bang Mat ada program yang berbeza yang akan kita susun,” katanya.

Beliau sebelum itu berkata, MAHA 2026 turut direka dalam bentuk mesra keluarga dengan pelbagai unsur hiburan dan aktiviti yang boleh dinikmati golongan kanak-kanak hingga warga emas.

Katanya, pengunjung yang datang pada waktu pagi juga boleh menghabiskan masa sehingga malam kerana pelbagai kemudahan disediakan di kawasan MAHA termasuk tandas, surau dan tempat makan.

“Kita buat dalam bentuk santai. Sepertinya kalau orang itu datang daripada pagi jam 10, dia kena balik jam 10 malam,” katanya.

Bagi memudahkan pergerakan pengunjung, perkhidmatan pengangkutan turut disediakan dari beberapa lokasi menuju ke MAEPS.

Menurut beliau, pengunjung boleh menggunakan laluan melalui Putrajaya Sentral, MRT Serdang dan MRT Putrajaya sebelum meneruskan perjalanan ke MAEPS menggunakan perkhidmatan shuttle.

Perkhidmatan shuttle di MAEPS terdiri daripada tram, bas dan buggy, dengan kekerapan sekitar setiap setengah jam, manakala perkhidmatan pengangkutan awam di luar kawasan MAEPS akan mengikut jadual yang ditetapkan pihak Prasarana.

Dalam pada itu, Mohamad memberitahu penganjuran MAHA tahun ini turut berlangsung dalam suasana sambutan Hari Kebangsaan apabila Ambang Merdeka akan diadakan di MAHA.

Beliau mengajak seluruh rakyat Malaysia hadir bersama keluarga bagi melihat sendiri perkembangan sektor agromakanan negara.

“Kita jangka lebih ramai pengunjung pada tahun ini. MAHA bukan sekadar tentang pertanian, tetapi tentang makanan kita dan masa depan negara,” katanya.