TAWAU - Seorang penganggur dijatuhkan hukuman penjara selama 18 bulan selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan kesalahan trafik termasuk menunggang motosikal secara cuai sehingga mencederakan seorang pelajar berusia 12 tahun, Januari lalu.
Tertuduh, Abisyam, 19, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin di Mahkamah Majistret di sini, pada Khamis.
Menurut pertuduhan, dia didakwa memandu secara cuai sehingga menyebabkan kemalangan, gagal berhenti selepas kemalangan, gagal membuat laporan polis dalam tempoh 24 jam dan menunggang motosikal tanpa lesen memandu dan insuran.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 43(1), Seksyen 52(1), Seksyen 52(2), Seksyen 26(2) dan Seksyen 90(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurut fakta kes, tertuduh yang menunggang motosikal jenis Honda melanggar seorang pelajar berusia 12 tahun ketika mangsa sedang melintas jalan di hadapan Masjid Jalan Merotai, kira-kira pukul 5.30 petang, 30 Januari lalu.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan retak tulang kaki manakala tertuduh bertindak meninggalkan lokasi kemalangan.
Tertuduh hanya membuat laporan polis tiga hari selepas kejadian.
Ketika prosiding, tertuduh memohon mahkamah meringankan hukuman selain meminta hukuman penjara dikenakan bagi kesemua pertuduhan tanpa denda.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman masing-masing sebulan penjara bagi kesalahan tidak memiliki lesen memandu dan insuran motosikal.
Bagi kesalahan gagal berhenti selepas kemalangan dan gagal membuat laporan polis dalam tempoh 24 jam, tertuduh dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan.
Sementara itu, bagi kesalahan memandu secara cuai, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 10 bulan.
Keseluruhan hukuman berjumlah 18 bulan penjara itu diperintahkan berjalan serentak.