Ubah suai motosikal seolah mahu cepat menemui Tuhan - JPJ

Iklan
Mohammad Yusoff (kanan) menunjukkan antara kesalahan pengubahsuaian melampau yang dilakukan penunggang motosikal.

IPOH - Tindakan segelintir penunggang motosikal melakukan pengubahsuaian melampau sehingga menjejaskan aspek keselamatan disifatkan sebagai perbuatan berisiko tinggi yang boleh mengundang maut.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, antara pengubahsuaian paling membimbangkan ialah melibatkan sistem brek apabila terdapat trend motosikal membuang brek belakang dan hanya bergantung kepada brek hadapan.

Iklan
Iklan

“Apabila sistem brek diubah suai hingga membuang brek belakang, ia jelas membahayakan. Ini seolah-olah mereka mahu cepat menemui Tuhan,” katanya dalam sidang akhbar Op Motosikal Ekstrem di Depoh Sita JPJ Negeri Perak di sini pada Khamis.

Menurut beliau, selain sistem brek, penggunaan ekzos 'senapang' dan pengubahsuaian tayar turut menjadi antara kesalahan teknikal ekstrem yang kerap dikesan dalam operasi berkenaan.

Iklan

Katanya, ada penunggang menggunakan tayar terlalu kecil atau dikenali sebagai ‘tayar sotong’ yang tidak mengikut spesifikasi asal pengeluar, dipercayai bagi tujuan meningkatkan kelajuan.

Penggunaan ekzos bising atau dikenali sebagai ‘ekzos senapang' turut menjadi antara kesalahan teknikal ekstrem yang kerap dikesan dalam operasi melibatkan motosikal.

Iklan

Beliau turut mendedahkan kos pengubahsuaian motosikal boleh mencecah sehingga RM15,000 bergantung kepada jenis komponen dan kemampuan pemilik, termasuk ekzos yang dianggarkan antara RM500 hingga RM2,000.

"Kita tidak mahu pengubahsuaian ini akhirnya mengorbankan nyawa, bukan sahaja penunggang tetapi juga pengguna jalan raya lain yang tidak bersalah," katanya.

Mengulas lanjut, Mohammad Yusoff berkata, JPJ Perak akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengekang penawaran alat ganti yang menyumbang kepada pengubahsuaian ekstrem.

Katanya, operasi bersepadu itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat melibatkan syarikat dan kedai-kedai alat ganti.

"Kita akan lihat dari sudut ‘supply and demand’. Kita mahu kurangkan penawaran supaya keperluan itu tidak terus wujud dalam masyarakat," katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, bagi tempoh 1 Januari hingga 19 Ogos ini, sebanyak 247 kesalahan membabitkan motosikal berjaya dikesan dengan 21 kes dikenal pasti melakukan pengubahsuaian ekstrem yang melanggar spesifikasi dibenarkan.

Jelasnya, daripada tiga operasi yang dijalankan, sebanyak 146 motosikal diperiksa, 79 daripadanya diambil tindakan manakala 37 motosikal dikenakan tindakan sita.

"Setiap motosikal akan diperiksa dari aspek spesifikasi teknikal, nombor casis dan enjin, lesen memandu, cukai jalan serta perlindungan insurans sebelum tindakan diambil," katanya.