DAMSYIK – Syria kini muncul sebagai titik panas baharu di Asia Barat susulan ketegangan antara Israel dan Turkiye yang semakin memuncak berhubung rancangan penempatan pasukan tentera Ankara di negara itu.
Perkembangan terbaharu itu tercetus selepas Israel melancarkan serangan udara ke atas pangkalan Abu al-Duhur di barat laut Syria pada Selasa sebagai respons tegas terhadap pelan tersebut yang didakwa boleh mengancam kepentingan keselamatan mereka.
Menteri Pertahanan, Israel Katz kemudiannya memberi amaran kepada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan supaya tidak mengambil 'tindakan berbahaya' di Syria yang berisiko mencetuskan konflik lebih besar.
Ia disusuli dengan ancaman Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang turut menegah sebarang kehadiran tentera Turkiye di pangkalan berkenaan.
Bagaimanapun, Damsyik menafikan dakwaan itu dan menegaskan tiada rancangan untuk menempatkan tentera Turkiye secara kekal atau menubuhkan pangkalan tentera Turkiye di Abu al-Duhur.
Menteri Luar, Asaad al-Shaibani berkata, pangkalan tersebut sedang dibaik pulih untuk digunakan Tentera Udara Syria manakala pegawai Turkiye yang melawat lokasi itu hanya terlibat dalam latihan dan kerjasama ketenteraan.
Ankara dalam satu kenyataan turut menolak dakwaan tidak berasas Tel Aviv dan mengecam serangan ke atas pangkalan tersebut. Turkiye percaya Israel cuba menggunakan dakwaan mengenai kehadiran tentera mereka sebagai alasan untuk melancarkan tindakan ketenteraan terhadap Damsyik.
Ketegangan itu mencerminkan persaingan pengaruh yang semakin jelas antara Israel dan Turkiye selepas perubahan politik besar di Syria yang kini berada di bawah pimpinan Presiden Ahmed al-Sharaa.
Perkembangan itu menjadikan Damsyik bukan sahaja berdepan cabaran untuk memulihkan kestabilan dalaman malah berpotensi menjadi medan baharu persaingan kuasa serantau di Asia Barat. - Agensi