KUANTAN — Ketabahan arwah bapa menjaga ibu yang terlantar sakit menjadi sumber kekuatan buat seorang lelaki untuk meneruskan tanggungjawab menjaga tiga ahli keluarganya yang menderita penyakit Spinocerebellar Ataxia (SCA) iaitu sejenis penyakit saraf yang jarang ditemui.
Teladan arwah Rani Abdul Rahman yang setia menjaga isterinya, Mek Nah Mamat,46, ketika wanita itu semakin uzur akibat penyakit berkenaan masih tersemat dalam ingatan anaknya, Muhammad Ashrol Rani, 31.
Bagi Muhammad Ashrol, apa yang dilakukan arwah bapanya dahulu menjadi contoh untuknya terus berada di sisi keluarga meskipun tanggungjawab itu menyebabkan dirinya terpaksa mengorbankan masa dan pekerjaan.
“Saya ingat arwah ayah dalam keadaan mak yang uzur, sakit terlantar dan sudah tidak boleh buat apa-apa, tetapi masih setia menjaga serta mencari rezeki.
Anak keenam daripada sembilan beradik itu kini menjadi penjaga utama kepada kakaknya, Suriani Rani, 41; adiknya, Abdul Halim Rani, 30; serta anak saudaranya, Nor Hafizah Abdul Rahman, 27, yang masing-masing berdepan kemerosotan fizikal akibat penyakit terbabit.
Bercerita lanjut, Muhammad Ashrol berkata, SCA penyakit yang menyerang otak dan mengganggu kawalan saraf sehingga menyebabkan penghidap mengalami masalah berjalan tidak seimbang, tangan menggeletar dan semakin takut untuk bergerak sebelum akhirnya memerlukan kerusi roda atau terlantar.
Kongsinya, penyakit itu mula dikesan dalam keluarga menerusi arwah ibunya yang menderita kira-kira 10 tahun sebelum meninggal dunia usia, pada 30 Mac 2013.
Muhammad Ashrol menambah, sebelum itu, keluarga turut kehilangan kakaknya, Hindun Rani,30, pada 8 Mei 2012 manakala bapanya meninggal dunia ketika berusia 56 tahun akibat kanser usus selepas tujuh hari pemergian arwah ibu
Ujarnya, selepas pemergian kedua-dua ibu bapa, tanggungjawab menjaga keluarga tidak terhenti apabila penyakit sama kemudiannya menyerang ahli keluarga yang lain.
"Kakak saya (Suriani) sudah menghidap penyakit ini kira-kira 12 tahun dan keadaannya paling kritikal dan hanya terlantar serta perlu diuruskan sepenuhnya.
“Manakala adik dan anak saudara pula di tahap tiga iaitu bergantung kepada kerusi roda tetapi masih boleh menyuap makanan sendiri.
“Bagaimanapun keadaan mereka semakin merosot setiap hari dan buat masa ini tiada rawatan khusus untuk menyembuhkan penyakit ini,”luahnya yang reda dengan ujian menimpa keluarganya.
Jelas Muhammad Ashrol, pihak hospital memaklumkan penyakit itu berpunca daripada faktor genetik dan setakat ini tiada ubat khusus untuk menyembuhkan SCA melainkan pemantauan kesihatan, fisioterapi serta rawatan susulan.
Dia menambah, rutin penjagaan ketiga-tiga insan istimewa itu merangkumi penyediaan makanan dan susu, membantu pergerakan, menukar lampin serta merawat luka akibat terlantar.
Ceritanya lagi kakaknya, Suriani, pernah beberapa kali dimasukkan ke hospital akibat masalah luka, dan dia perlu menguruskan kebajikannya sepanjang berada di wad.
“Kalau ikutkan lampin pakai buang diganti sehari tiga kali, tetapi sebab kurang kaki tangan, kami buat dua kali.
"Waktu tengah hari itu yang lebih rumit sebab kena cuci luka, letak ubat dan tampal plaster.
“Nor Hafizah pula memerlukan bantuan untuk bergerak ke bilik air manakala Abdul Halim yang sukar berjalan turut dibantu untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain,” katanya.
Tanggungjawab besar itu menyebabkan Muhammad Ashrol perlu mengetepikan pekerjaan sepenuh masa dan memilih untuk berniaga air minuman secara kecil-kecilan bagi memastikan dirinya mempunyai masa menguruskan keluarga.
Lebih mencabar, Muhammad Ashrol baru sahaja mendirikan rumah tangga dan bakal memasuki bulan ketiga perkahwinannya.
Namun, katanya, isterinya amat memahami tanggungjawab yang dipikul dan tidak pernah menghalangnya daripada terus menjaga keluarga.
“Saya kahwin bukan sebab mahu gunakan isteri untuk bantu saya, tapi mahu dia jadi teman hidup dan orang yang bersama saya kalau satu hari nanti saya pula sakit.
"Alhamdulillah, isteri dan keluarga mentua sangat faham keadaan saya,” katanya.
Menjawab mengenai bantuan yang diterima, Muhammad Ashrol berkata, secara keseluruhan mereka menerima bantuan bulanan berjumlah RM1,500 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan RM500 lagi daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) termasuk baucer makanan sebanyak RM200 sebulan.
Selain itu, katanya, nasib ketiga pesakit itu turut mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri yang menyampaikan bantuan secara sekali bayar.
Muhammad Ashrol turut memberitahu kini dalam proses untuk memohon bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk kakaknya terutamanya bantuan lampin pakai buang, susu dan tisu basah.
“Buat masa ini, keperluan paling mendesak adalah katil pesakit buat kakak kerana katil sedia ada sudah rosak di bahagian pagar sehingga dia pernah beberapa kali terjatuh.
“Selain itu, kerusi roda untuk anak saudara juga sudah tidak sesuai dengan berat badannya dan memerlukan kerusi roda yang lebih besar,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang bagi meringankan beban keluarga ini boleh berbuat demikian ke akaun 7035508521 (CIMB Bank) atas nama Muhammad Ashrol.