TAIWAN diisytihar sebagai Destinasi Antarabangsa Pilihan bagi MATTA Fair yang akan berlangsung pada 4 hingga 6 September 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia ( MATTA), Nigel Wong berkata, Pada 2025, Taiwan merekodkan 8.575 juta ketibaan pelancong antarabangsa, meningkat 9.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Menurutnya, Malaysia muncul sebagai penyumbang terbesar pelancong dari rantau ini dengan 424,094 ketibaan.
"Hubungan pelancongan antara kedua-dua destinasi turut berkembang secara dua hala apabila lebih 390,000 pelancong Taiwan melawat Malaysia pada tahun yang sama.
"Pertukaran pelancong yang kukuh dan konsisten antara Malaysia dan Taiwan membuktikan bahawa sektor pelancongan masuk dan keluar berkembang pada kadar yang sihat.
"Hubungan erat serta aliran pelancong yang stabil antara Malaysia dan Taiwan membuktikan kedua-dua sektor pelancongan masuk dan keluar berada pada landasan yang baik.
"Menamakan Taiwan sebagai Destinasi Antarabangsa Pilihan MATTA merupakan langkah yang tepat, dan kami berharap dapat terus memperkukuh kedua-dua sektor serta memperdalam kerjasama dalam industri pelancongan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sementara itu, Pengarah Pejabat Pentadbiran Pelancongan Taiwan di Kuala Lumpur, Abe Chou berkata, Malaysia merupakan pasaran sumber pelancong yang penting dan terus berkembang bagi Taiwan, manakala penyertaan dalam MATTA Fair September 2026 mencerminkan komitmen kukuh untuk mempererat hubungan pelancongan serta pertukaran dua hala antara kedua-dua negara.
"Melalui tema ‘Taiwan – Waves of Wonder’, kami berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk meneroka kepelbagaian pengalaman pelancongan di Taiwan, daripada budaya dan gastronomi hinggalah ke alam semula jadi serta aktiviti rekreasi, sekali gus menikmati keunikan destinasi ini.
"Tahun ini, kami turut menjemput empat agensi pelancongan Malaysia menyertai Pavilion Taiwan bagi menawarkan pakej pelancongan mesra Muslim, sekali gus memenuhi keperluan pengembara Muslim dari Malaysia.
"Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan rakan industri pelancongan Malaysia untuk terus membangunkan pasaran pelancongan mesra Muslim dan mewujudkan lebih banyak peluang perjalanan dua hala antara Taiwan dan Malaysia,” katanya.
MATTA Fair September 2026 melibatkan 10 dewan pameran dengan keluasan lebih 40,820 meter persegi.
Edisi kali ini dijangka menampilkan 2,026 gerai daripada 285 syarikat yang mengambil bahagian, dengan jumlah penyertaan dijangka terus meningkat menjelang hari pameran.
Pengunjung boleh mengunjungi Pavilion Taiwan bertemakan Waves of Wonder yang terletak di Aras 3 (Dewan Antarabangsa) sepanjang tiga hari penganjuran.
MATTA Fair dibuka secara percuma kepada orang ramai dari 10 pagi hingga 9 malam, bermula Jumaat hingga Ahad.
Pengunjung turut digalakkan menggunakan perkhidmatan bas ulang-alik percuma dari KL Sentral dan Sunway Putra Mall ke MITEC, selain kemudahan parkir yang disediakan bagi mereka yang memandu.
-END-