RESORTS World Genting (RWG) kembali dengan pelbagai aktiviti dan promosi menarik menerusi kempen 'Merdeka Cara Kita - Bebas Tanpa Batas' sehingga 16 September depan sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2026.
RWG dalam satu kenyataan memaklumkan, kempen tersebut menawarkan pengalaman istimewa buat pengunjung termasuk aktiviti mesra keluarga, sajian bercirikan Malaysia, program warisan budaya, keseronokan taman tema, ganjaran membeli-belah serta hiburan secara langsung di seluruh resort sepanjang musim kemerdekaan.
Menurut RWG, antara aktiviti tersebut ialah Pesta Riang Ria di ruang atrium Resorts World Awana dari 29 hingga 31 Ogos ini.
Tambah RWG, pengunjung boleh menikmati pelbagai aktiviti menarik secara percuma termasuk persembahan kebudayaan, seni dan kraf bertemakan Merdeka, Heritage Play Hub serta malam tayangan filem keluarga sepanjang tiga hari penganjuran.
"Melengkapkan sambutan, AYU Awana memperkenalkan semula 'platter and roast' yang menjadi kegemaran ramai pada 29 dan 30 Ogos ini iaitu pakej Merdeka Day Set Platter berharga RM168 untuk empat orang serta The Heritage Roast (RM69 untuk dua orang)," menurut kenyataan itu.
RWG turut membawakan cita rasa Malaysia dengan sentuhan istimewa Asam Pedas Lobster di Burger & Lobster SkyAvenue yang boleh dinikmati dari 15 Ogos hingga 16 September.
Selain itu, penggemar manisan boleh memeriahkan sambutan Merdeka dengan potongan harga 31 peratus untuk Set Kuih Bulan Kotak Standard di cawangan terpilih pada 30 dan 31 Ogos, pembelian minimum satu kotak.
RWG menjelaskan, permainan Toss the Glory: Batu Seremban, set poskad serta Kotak Misteri Sumbangan Sosial yang diperkenalkan buat julung kalinya antara tarikan menarik sehingga 16 September di Zouk Atrium, Aras 1 SkyAvenue.
Pemegang kad ahli Ganjaran Genting boleh menyertainya dengan perbelanjaan minimum RM269, manakala bukan ahli pula RM369 dalam satu resit daripada premis yang mengambil bahagian di seluruh resort.
"Menerusi kerjasama dengan Komuniti Tukang Jahit, ia dihasilkan sepenuhnya melalui jahitan tangan tukang jahit wanita. Inisiatif ini mengetengahkan kreativiti dan kraftangan tempatan, di samping memberikan sentuhan moden kepada permainan tradisional yang dekat di hati rakyat Malaysia.
"Bagi mereka yang gemarkan cabaran, Heritage Trail membawa pengunjung menyelami keindahan tradisi batik Malaysia dan zon budaya interaktif, mengenali seni tempatan, menguji pengetahuan tentang budaya serta mencuba aktiviti di sudut kraf dan zon studio fotografi.
"Lengkapkan cabaran, kongsikan pengalaman di Instagram dan tag @SkyAvenue serta @komunititukangjahit untuk berpeluang menebus Tiket Standard 1 Hari Taman Tema Genting SkyWorlds," jelas RWG.
Sebagai sebahagian usaha memastikan lebih ramai rakyat Malaysia dapat menikmati kemeriahan sepanjang Bulan Kebangsaan 2026, RWG memaklumkan, Taman Tema Genting SkyWorlds menawarkan harga khas tiket satu hari serendah RM38 kepada warganegara yang layak.
"Ini termasuk warga emas, kanak-kanak berketinggian di bawah 110 sentimeter serta orang kurang upaya (OKU). Promosi yang bermula 17 Ogos itu mencerminkan semangat kebersamaan merentas generasi sekali gus tanda penghargaan.
"Kemuncak sambutan Merdeka di RWG diadakan menerusi konsert 'Voice of National Day' pada 29 Ogos jam 6 petang di Arena of Stars dengan menampilkan Z-Chen, Abin, DannyOne, Amsyar Lee dan Boon Yaw.
"Sebagai tawaran istimewa, peminat barisan artis ini boleh menikmati diskaun 'early bird' sebanyak 25 peratus untuk pembelian tiket kategori VIP hingga PS2," menurut kenyataan itu lagi.