SHAH ALAM - Persiapan menghadapi musim monsun diperkukuhkan dengan penambahan aset mobiliti apabila Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima 19 unit kenderaan operasi ringan (LOV).
Penerimaan terbaharu itu menjadikan keseluruhan 34 LOV berkeupayaan pacuan empat roda kini dimiliki JBPM Selangor bagi menyokong operasi di seluruh negeri.
Pengarah JBPM Selangor, Datuk Wan Md Razali Wan Ismail berkata, aset berkenaan akan digunakan sebagai sokongan utama di peringkat balai termasuk pergerakan anggota, pengangkutan peralatan, pemantauan kawasan serta bantuan awal ketika berlaku kecemasan dan bencana.
"Daripada jumlah keseluruhan itu, lima kenderaan dilengkapi 'winch' penarik dan tombol penarik bot yang memberi keupayaan tambahan kepada pasukan ketika berdepan situasi banjir, laluan berlumpur atau muka bumi sukar dilalui kenderaan biasa," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Wan Md Razali berkata, penerimaan aset itu juga bertepatan dengan langkah kesiapsiagaan awal JBPM Selangor menghadapi perubahan cuaca serta peningkatan risiko hujan lebat dan banjir.
"Penempatan kenderaan berkenaan akan disusun mengikut keperluan operasi dan profil risiko kawasan bagi membolehkan anggota serta peralatan digerakkan dengan lebih berkesan, khususnya di kawasan terjejas banjir, jalan berlumpur dan laluan tidak rata," katanya.
Menurutnya, semua kenderaan berkenaan perlu dijaga dan diselenggara dengan baik bagi memastikan sentiasa berada dalam keadaan siap operasi.
"Pegawai dan anggota yang mengendalikan kenderaan berkenaan diingatkan supaya memandu secara berhemah, mematuhi peraturan jalan raya serta mengutamakan keselamatan anggota dan pengguna jalan raya," katanya.
Menurut beliau, tahap kesiapsiagaan bukan hanya bergantung kepada jumlah aset dimiliki, sebaliknya turut merangkumi kecekapan anggota, penyelenggaraan aset, kecukupan peralatan serta keupayaan pasukan bertindak pantas dan teratur.
"JBPM Selangor akan terus memperkukuhkan kesiapsiagaan menerusi pengurusan aset secara sistematik, pemeriksaan berkala, latihan anggota serta penyelarasan operasi antara balai bomba dan penyelamat.
"Masyarakat turut diminta supaya sentiasa peka terhadap perkembangan cuaca, mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengambil langkah keselamatan awal sekiranya berlaku hujan lebat, banjir atau keadaan cuaca yang berisiko," ujarnya.