Pasangan warga asing dalang sindiket pekerja seks ditahan

Iklan
Antara warga asing yang ditahan dalam operasi JIM pada Selasa lalu.

PUTRAJAYA - Sindiket kegiatan tidak bermoral yang menjadikan premis kediaman dan perniagaan sebagai lokasi tersembunyi untuk menawarkan khidmat pekerja seks warga asing terbongkar selepas diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Operasi Khas pada Selasa.

Kegiatan itu dipercayai dipromosikan menerusi media sosial kepada pelanggan terutama warga Bangladesh di sekitar Lembah Klang, manakala pekerja seks dikawal pasangan warga asing yang dipercayai menjadi dalang utama.

Iklan
Iklan

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kegiatan itu terbongkar hasil maklumat awam dan risikan selama dua minggu sebelum operasi dijalankan di dua lokasi di Jalan Kuchai Lama dan sekitar Jalan Gelugor, Kuala Lumpur pada Selasa.

"Operasi bermula kira-kira jam 10.50 malam itu melibatkan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Iklan

"Pasukan operasi berjaya menahan satu pasangan warga asing terdiri daripada seorang lelaki warga Bangladesh bersama seorang wanita warga Thailand yang dipercayai dalang utama," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Zakaria berkata, seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai berperanan sebagai penjaga premis turut ditahan.

Iklan

"Operasi sama turut menahan tiga lelaki warga Myanmar, tiga wanita warga Bangladesh, 14 wanita warga Indonesia, dua wanita warga Vietnam dan seorang wanita warga Myanmar," katanya.

Katanya, kesemua yang ditahan berusia antara 18 hingga 35 tahun dengan jumlah keseluruhan seramai 26 orang.

"Semakan awal mendapati kesemua warga asing yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini," katanya.

Zakaria berkata, pasukan operasi turut menyita empat pasport Bangladesh, sebuah pasport Thailand dan sebuah pasport Indonesia selain telefon bimbit, kondom serta wang tunai RM1,215 yang disyaki hasil daripada kegiatan berkenaan.

"Modus operandi sindiket adalah menjadikan premis kediaman dan perniagaan sebagai lokasi menjalankan aktiviti tidak bermoral membabitkan wanita warga asing sebagai pekerja seks.

"Premis kediaman dipromosikan kepada pelanggan terutama warga Bangladesh yang berada di Lembah Klang melalui platform media sosial," katanya.

Menurutnya, dalang utama dipercayai mengawal pergerakan pekerja dengan menyimpan pasport mereka, manakala aktiviti di premis kediaman dilakukan secara tertutup bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Kegiatan di premis perniagaan pula dipercayai dikawal dan dijaga seorang lelaki warga tempatan yang berperanan sebagai 'kapten'," katanya.

Beliau berkata, kadar bayaran dikenakan di premis kediaman adalah RM200 bagi tempoh 60 minit, manakala bayaran di premis perniagaan pula antara RM260 hingga RM400 bagi tempoh 90 minit.

"Kegiatan ini dipercayai telah beroperasi sejak dua bulan lalu," katanya.

Zakaria berkata, pasangan warga asing dan seorang lelaki warga tempatan ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.

"Warga asing lain pula ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Kesemua mereka dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan lanjut, manakala tujuh lelaki warga tempatan diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, JIM akan meneruskan tindakan tegas bagi membanteras apa jua aktiviti yang melanggar undang-undang negara.

"Tindakan ini bagi memastikan kestabilan dan kemakmuran negara berada dalam keadaan aman dan sejahtera," katanya.