Sanggup bayar RM1,000 bersih, kemas rumah

Iklan
Terdapat pelanggan yang sanggup mengeluarkan kos antara RM150 hingga RM1,000 sebulan untuk khidmat pembersihan rumah, bergantung kepada skop dan masa pembersihan dijalankan.

KEPERLUAN asas isi rumah kini tidak lagi terhad kepada perkara konvensional seperti makanan, tempat tinggal dan utiliti.

Sebaliknya, ia turut merangkumi pelbagai perkhidmatan lain sehingga ada yang sanggup memperuntukkan sehingga RM1,000 sebulan untuk khidmat membersih dan mengemas rumah.

Iklan
Iklan

Perubahan corak hidup, khususnya dalam kalangan keluarga yang mempunyai komitmen kerja serta masa yang terhad, menyebabkan perkhidmatan tersebut mula dilihat sebagai satu keperluan, bukannya kemewahan.

Jika sebelum ini kerja-kerja membersihkan rumah lazimnya dilakukan sendiri oleh ahli keluarga, kekangan masa dan tuntutan pekerjaan menyebabkan sebahagian isi rumah memilih untuk mendapatkan khidmat pihak luar bagi memastikan kediaman sentiasa bersih dan terurus.

Iklan

Keadaan tersebut secara tidak langsung mewujudkan komitmen baharu dalam perbelanjaan isi rumah apabila bayaran bagi perkhidmatan mengemas rumah dibuat secara berkala, sama ada mengikut jadual mingguan, dua minggu sekali atau bulanan.

Perkara itu diakui oleh penyedia perkhidmatan yang melihat trend permintaan terhadap khidmat mengemas dan membersihkan rumah secara berkala semakin meningkat.

Iklan

Pengasas Cleaning & Care Services, Aniza Mustafa, berkata terdapat peningkatan ketara dalam permintaan terhadap khidmat yang ditawarkan walaupun syarikat itu baharu beroperasi sejak Mei lalu.

Menurutnya, terdapat juga pelanggan yang membuat tempahan berulang dengan kekerapan bergantung kepada keperluan setiap rumah.

"Ada pelanggan yang membuat tempahan setiap minggu atau dua minggu sekali dan ada juga yang memilih untuk menggunakan perkhidmatan sebulan sekali.

"Pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan seminggu sekali sanggup memperuntukkan kos sekitar RM150 hingga RM200 bagi satu sesi atau kira-kira RM600 hingga RM800 sebulan.

"Jika tempahan dibuat dua minggu sekali, mereka membelanjakan sekitar RM300 hingga RM400 sebulan, manakala perkhidmatan sebulan sekali pula menelan kos sekitar RM150 hingga RM250, bergantung pada jenis dan tempoh pembersihan," katanya kepada Sinar Bisnes.

Tambah Aniza, terdapat juga pelanggan yang sanggup mengeluarkan perbelanjaan lebih besar daripada kebiasaan, khususnya bagi rumah yang lebih besar atau untuk mendapatkan khidmat deep cleaning secara berkala.

"Perbelanjaan bulanan boleh mencecah RM500 hingga lebih RM1,000, bergantung kepada skop kerja yang diperlukan.

"Jika dibandingkan dengan ketika kami mula beroperasi, memang terdapat peningkatan yang ketara. Kini, tempahan semakin konsisten dan kami juga menerima lebih banyak pertanyaan daripada pelanggan baharu," katanya.

Justeru, beliau percaya permintaan terhadap khidmat pembersihan rumah bukan sekadar trend, sebaliknya akan terus berkembang kerana gaya hidup masyarakat masa kini yang semakin sibuk.

Sementara itu, pakar kewangan, Dr Azizul Azli Ahmad berkata, perubahan gaya hidup masyarakat menyebabkan perkhidmatan seperti pembersihan rumah semakin dilihat sebagai satu bentuk kemudahan yang sanggup dibayar bagi menjimatkan masa dan tenaga.

Katanya, pengguna kini sanggup mengeluarkan kos untuk perkhidmatan yang sebelum ini dilakukan sendiri kerana masa yang dijimatkan boleh digunakan untuk aktiviti lain yang dianggap lebih bernilai.

"Kadang-kadang kita memanggil cleaner untuk membersihkan rumah dan membayar RM100, RM150 serta sebagainya.

"Saya rasa, dalam tempoh empat atau lima jam dia melakukan kerja itu, kita boleh meluangkan masa bersama anak-anak, berbual dengan suami atau isteri. Pada saya, itu lebih berharga (priceless)," katanya.