ISU anjing terbiar bukan lagi masalah terpencil yang hanya berlaku di sesetengah kawasan, sebaliknya kini semakin dilihat sebagai satu ancaman keselamatan yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk.
Lebih meresahkan apabila haiwan terbabit bertindak agresif dengan mengejar atau menyerang penduduk, terutama kanak-kanak, warga emas dan penunggang motosikal.
Malah, kes serangan anjing yang membawa maut turut pernah dilaporkan di negara ini, antaranya dua kejadian menyayat hati di Sabah membabitkan seorang wanita warga emas yang diserang sekumpulan 11 ekor anjing terbiar tahun lalu dan seorang kanak-kanak berusia dua tahun dalam kejadian pada 2024.
Hakikatnya isu ini bagaikan tiada penghujung apabila jumlah anjing terbiar terus bertambah meskipun pelbagai usaha penguatkuasaan dan tindakan kawalan dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Namun agak mengecewakan apabila sesetengah pihak dilihat lebih mudah mengkritik atau mengecam setiap langkah yang diambil PBT bagi menangani isu terbabit, sedangkan mereka membisu apabila diminta tampil mengemukakan solusi terbaik.
Semua pihak perlu menerima hakikat bahawa menyelesaikan isu anjing terbiar bukan sekadar menangkap dan memindahkan haiwan terbabit tetapi lebih daripada itu.
Selagi punca kepada kewujudan anjing terbiar tidak ditangani, masalah sama akan terus berulang dari tahun ke tahun.
Realitinya, isu ini tidak muncul secara tiba-tiba. Sebaliknya, ia turut berkait dengan sikap sebahagian manusia yang tidak bertanggungjawab.
Pemilik yang melepaskan haiwan peliharaan, membuang anak anjing atau gagal memastikan haiwan berada dalam kawalan antara permulaan kisah seekor anjing terbiar.
Seekor anjing yang dibuang mungkin kelihatan seperti satu isu kecil, tetapi apabila haiwan itu membiak tanpa kawalan, jumlahnya boleh meningkat sehingga menjadi ancaman kepada keselamatan dan ketenteraman penduduk.
Pengurusan sisa pepejal yang tidak cekap juga dilihat sebagai salah satu faktor yang menyebabkan anjing mudah berkumpul dan terus beranak pinak di kawasan tertentu terutama berhampiran kawasan perumahan dan premis makanan.
Justeru, tanggungjawab menangani isu ini tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya di bahu PBT semata-mata.
Pemilik haiwan, masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pengusaha premis makanan dan agensi berkaitan semuanya mempunyai peranan masing-masing.
Pada masa sama, pendekatan penyelesaian perlu lebih menyeluruh dan berterusan. Tindakan menangkap anjing sahaja mungkin memberikan kelegaan sementara kepada penduduk, tetapi tidak menyelesaikan masalah sepenuhnya.
Dalam konteks di negara ini, isu anjing juga menjadi lebih kompleks apabila persepsi terhadap anjing dipengaruhi faktor budaya dan agama.
Ada kelompok yang mendesak tindakan segera diambil terhadap anjing terbiar atas faktor keselamatan, manakala ada pula yang lebih bersimpati selain menuduh PBT tidak berperikemanusiaan terhadap nasib haiwan jalanan.
Perbezaan pandangan itu sememangnya meletakkan PBT dalam dilema. Namun, pada masa sama, pihak berkuasa tetap perlu bertindak bagi memastikan keselamatan awam lebih terjamin.
Mungkin sudah tiba masanya kita menguatkuasakan undang-undang berkaitan pemilikan haiwan peliharaan, termasuk mempertimbangkan pendaftaran wajib atau pemasangan mikrocip seperti dilaksanakan di sesetengah negara.
Langkah sedemikian penting supaya tanggungjawab tidak berakhir selepas seseorang membeli atau mengambil haiwan sebagai peliharaan.
Pemilikan haiwan perlu datang bersama tanggungjawab untuk menjaganya sehingga akhir hayat.
Pada akhirnya, persoalan paling penting bukan siapa yang harus dipersalahkan, sama ada anjing, pemilik, masyarakat atau PBT.
Persoalan sebenar ialah bagaimana masalah ini dapat dihentikan secara lebih berkesan.
Jika isu anjing terbiar hanya ditangani selepas menerima aduan, berlaku serangan atau seseorang menjadi mangsa, kitaran itu tidak akan pernah berakhir.
Hentikanlah sikap menuding jari dan mula melihat isu ini sebagai tanggungjawab bersama kerana anjing tidak memilih untuk menjadi terbiar.
Ini kerana ada tangan manusia yang pernah memeliharanya yang kemudian membuangnya.
*Syamilah Zulkifli ialah wartawan Sinar Harian