IMPIAN Malaysia untuk mara ke final Piala ASEAN 2026 berakhir selepas tewas 0-2 kepada Vietnam pada aksi separuh akhir kedua di Stadium My Dinh di Hanoi, Vietnam malam ini.
Keputusan itu menyaksikan skuad Harimau Malaya tersingkir dengan agregat 0-4 selepas Vietnam terlebih dahulu mencatat kemenangan 2-0 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Ahad lepas.
Malaysia turun dengan misi memburu kemenangan besar bagi menghidupkan peluang ke final cuba tampil lebih agresif sejak awal permainan namun Vietnam berjaya mengawal rentak perlawanan dan menyekat usaha skuad negara sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, skuad Naga Emas memecah kebuntuan apabila mendahului 1-0 menerusi penyerang Nguyen Xuan Son pada minit ke-62 sekali gus meletakkan Malaysia dalam keadaan sukar untuk mengejar defisit tiga gol secara keseluruhan.
Harimau Malaya terus berusaha mencari gol penyamaan namun ketumpulan di bahagian serangan dan pertahanan Vietnam yang tersusun menyukarkan anak buah ketua jurulatih interim Tan Cheng Hoe menghasilkan jaringan.
Xuan Son kemudian melengkapkan malam gemilangnya apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-89 untuk mengesahkan kemenangan 2-0 Vietnam sekali gus menutup peluang Malaysia ke pentas final.
Kekalahan itu menamatkan kempen Malaysia dalam kejohanan berkenaan manakala Vietnam mara ke final untuk meneruskan usaha mempertahankan kejuaraan. - Berama