Dua kenalan antara diberkas, dadah RM37.5 juta dirampas

Iklan
Shazeli menunjukkan antara dadah yang dirampas menerusi siri operasi dijalankan.

SHAH ALAM - Dua kenalan antara 12 individu yang diberkas menerusi enam siri operasi pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dari 4 hingga 17 Ogos lalu.

Dalam operasi itu, polis merampas pelbagai jenis dadah keseluruhan bernilai kira-kira RM37.5 juta yang dipercayai mampu menampung penggunaan sehingga dua juta individu pada satu-satu masa.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, dua kenalan berkenaan masing-masing lelaki dan wanita tempatan berusia 33 dan 28 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah premis kediaman di Ampang pada 17 Ogos.

Menurutnya, pemeriksaan di premis itu menemukan 243 bungkusan plastik disyaki mengandungi syabu seberat 252.7 kilogram serta 234 bungkusan kertas berminyak mengandungi bahan disyaki heroin base seberat kira-kira 88 kilogram.

Iklan

Shazeli menunjukkan antara dadah yang dirampas menerusi siri operasi dijalankan.

"Kedua-dua suspek bukan pasangan suami isteri, sebaliknya hanya kenalan dan tidak boleh dikatakan sebagai pasangan kekasih," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Rabu.

Iklan

Shazeli berkata, kedua-dua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka negatif daripada sebarang kehadiran dadah.

"Semakan rekod mendapati hanya seorang daripada kesemua suspek yang ditahan mempunyai satu rekod kesalahan lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.

"Kesemua enam siri operasi ini melibatkan sindiket yang berbeza dan tidak saling berkaitan," katanya.

Dalam pada itu, Shazeli berkata, keseluruhan enam siri operasi berkenaan membawa kepada penahanan 12 suspek berusia antara 22 hingga 54 tahun, membabitkan tiga warga tempatan dan sembilan warga asing.

Beliau berkata, dalam salah satu operasi, seorang lelaki warga asing berusia 39 tahun ditahan selepas membawa kokain seberat 7.72 kilogram yang dikesan dalam sebuah bagasi ketika melalui mesin pengimbas di KLIA oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

Antara dadah yang dirampas menerisi siri serbuan dijalankan.

Katanya, suspek yang baru tiba di negara ini dipercayai membawa dadah berkenaan untuk pasaran tempatan.

"Secara keseluruhan, rampasan membabitkan 96.15 kilogram bunga ganja, 408.63 kilogram syabu, 87.98 kilogram heroin base dan 7.72 kilogram kokain dengan nilai keseluruhan kira-kira RM37.5 juta," katanya.

Shazeli berkata, polis turut menyita sebuah Toyota Hilux dan Honda City serta wang tunai keseluruhan berjumlah RM2,704.

Operasi berkenaan dijalankan bersama AKPS, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD KLIA serta dibantu Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) KLIA.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata tiga suspek telah dituduh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala dua lagi dituduh mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Seorang suspek pula dibebaskan kerana tidak terdapat elemen pembuktian yang mencukupi berhubung penglibatannya dalam sindiket," katanya.