[VIDEO] MQH: ‘Bingkas Menuju Malaysia Sejahtera’, seru masyarakat kembali kepada al-Quran

Iklan

KOTA BHARU - Tema Malaysia #QuranHour (MQH) 2026, Bingkas Menuju Malaysia Sejahtera tepat dalam mengajak masyarakat bangkit membina kehidupan berteraskan al-Quran khususnya ketika berdepan cabaran akhlak dan gejala sosial.

Muhammad Hana Pizi (enam dari kiri) dan kakitangan di MAIK menyatakan sokongan kepada MQH yang akan berlangsung pada hujung bulan ini.

Iklan
Iklan

Imam Besar Negeri Kelantan, Muhammad Hana Pizi Abdullah berkata, beliau mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyokong usaha berkenaan kerana tema yang diketengahkan mesej jelas untuk masyarakat kembali kepada panduan al-Quran.

Menurutnya, perkataan ‘bingkas’ dalam konteks tema itu membawa maksud bangkit menuju kehidupan yang dikehendaki ALLAH SWT, manakala kesejahteraan sebenar perlu dibina berasaskan panduan agama.

Iklan

“Tema yang cukup bertenaga untuk mengajak umat Islam di negara ini membangunkan kehidupan dengan agama.

“Bingkas menuju Malaysia sejahtera berpandukan ajaran dan intipati al-Quran adalah pendekatan yang sangat tepat serta selari dengan kehendak ALLAH,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena siri jelajah kempen MQH Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) di pejabatnya di MAIK Lundang di sini pada Rabu.

Turut hadir, Pengerusi PRNNK, Datuk Adnan Hashim.

MQH 2026 akan berlangsung serentak pada 30 Ogos ini dari jam 12 tengah hari hingga 1 petang, dengan lokasi perdana di Masjid Al-Sultan Abdullah, Jalan Stadium, Presint Merdeka 118, Kuala Lumpur.

Bagi peringkat Kelantan pula, program akan dilaksanakan di Masjid Al-Munir Mukim Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini selain penyertaan daripada masjid, surau, institusi pendidikan, organisasi dan komuniti di seluruh negeri.

Muhammad Hana Pizi (kiri) bersama wakil PRNNK menunjukkan risalah MQH.

Muhammad Hana Pizi berkata, al-Quran bukan sekadar kitab untuk dibaca sebaliknya menjadi panduan dalam membentuk manusia yang mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi.

Katanya, usaha membina masyarakat sejahtera tidak boleh dipisahkan daripada usaha membentuk manusia yang mempunyai akhlak dan nilai kehidupan berpandukan wahyu.

“Sebab itu penganjuran MQH ini merupakan satu langkah dan pendekatan yang sangat tepat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau melihat penghayatan al-Quran perlu diperkasakan susulan masalah akhlak dan sosial yang semakin menjadi perhatian masyarakat.

Menurutnya, kembali kepada al-Quran bukan bermaksud sekadar memperbanyakkan bacaan, sebaliknya masyarakat perlu memahami, menghayati dan menterjemahkan kandungannya dalam kehidupan.

“Masalah yang berlaku dalam masyarakat tidak lain dan tidak bukan kerana mereka mengabaikan agama walhal apabila disebut agama, maka al-Quranlah yang perlu didekati.

“Sekiranya masyarakat kembali kepada agama melalui al-Quran dengan meneliti, membaca, menghayati dan mentadabur kandungannya, Insya-ALLAH masalah sosial dan keruntuhan akhlak dapat ditangani,” katanya.

Tambah Muhammad Hana Pizi, usaha itu perlu dimulakan sejak peringkat kanak-kanak dengan ibu bapa memastikan anak-anak bukan sahaja mampu membaca al-Quran, malah memahami mesej yang terkandung di dalamnya.

Katanya, budaya al-Quran dalam keluarga perlu bergerak daripada membaca kepada memahami, menghayati dan mengamalkan, supaya nilai yang dipelajari tidak terhenti di dalam majlis atau kelas pengajian.

“Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca, tetapi perlu kepada penghayatan dan pemahaman termasuk melalui tadabur serta tafsir.

“Ini tanggungjawab besar yang perlu dimainkan semua anggota masyarakat,” katanya.

Menurutnya, sokongan berterusan daripada semua pihak termasuk institusi agama, masjid, keluarga dan komuniti amat diperlukan supaya usaha itu dapat memberi kesan lebih besar terhadap pembentukan generasi akan datang.

“Kalau perkara ini terus berjalan dan mendapat dukungan serta sokongan daripada semua pihak, pasti ia akan berjaya,” katanya.

Malaysia #QuranHour merupakan antara inisiatif dalam gerakan interaksi dengan al-Quran yang membawa pendekatan Baca, Faham, Amal dan Sebarkan dengan matlamat membentuk masyarakat yang berbudi serta penyayang.