Belanjawan 2027: KKR mohon peruntukan lebih tinggi - Ahmad Maslan

Iklan
Ahmad (tengah) melakukan gimik Majlis Pra-Pelancaran Persidangan dan Pameran Jalan Raya Malaysia ke-13 Tahun 2026 dan Kongres Serantau Asia-Pasifik Global International Road Federation ke-6 di WTCKL pada Rabu. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) memohon peruntukan lebih tinggi menerusi Belanjawan 2027 bagi memastikan agenda pembangunan infrastruktur negara dapat terus diperkasakan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, kementerian itu secara konsisten menerima peruntukan pembangunan terbesar dalam kalangan 28 kementerian, termasuk RM9.6 bilion atau hampir 10 peratus daripada keseluruhan RM81 bilion Perbelanjaan Pembangunan (DE) pada 2026.

Iklan
Iklan

"Kita faham kerajaan mungkin berdepan kekangan kewangan tertentu termasuk peningkatan peruntukan subsidi.

"KKR juga sudah memohon peruntukan lebih berbanding tahun lepas, namun serah kepada Kementerian Kewangan," katanya selepas merasmikan prapelancaran Persidangan dan Pameran Jalan Malaysia Ke-13 serta Kongres Persekutuan Jalan Antarabangsa (IRF) Wilayah Asia-Pasifik Keenam, di sini pada Rabu.

Iklan

Belanjawan 2027 akan dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober ini, dengan 10 bidang utama menjadi tumpuan kerajaan, terutama kepentingan rakyat setiap dasar, ikhtiar dan peruntukan yang bakal dipertimbangkan.

Berdasarkan Kenyataan Prabelanjawan 2027 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan pada Selasa, Belanjawan Madani kelima itu akan terus berpaksikan tiga tonggak ekonomi antaranya menaikkan siling pertumbuhan negara, menaikkan Lantai kesejahteraan hidup rakyat dan memacu pembaharuan tatakelola pentadbiran negara.

Iklan

Dalam pada itu Ahmad menjelaskan, sektor pembinaan negara mencatat pertumbuhan 8.5 peratus pada suku kedua 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan nilai RM46.5 bilion.

Menurutnya, perkembangan itu menunjukkan ekonomi negara terus berkembang, manakala sektor pembinaan merangkumi projek bangunan, lebuh raya, jalan raya, jambatan dan kerja pembaikan.

Sementara itu dalam perkembangan lain Ahmad memaklumkan, penganjuran persidangan berkenaan mampu membuka ruang lebih luas bagi teknologi dan inovasi kejuruteraan jalan tempatan dikembangkan ke peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, program bertemakan 'Transforming The Nation Through Future Ready Roads' itu mencerminkan komitmen Malaysia menyediakan infrastruktur jalan raya yang berdaya tahan, mampan dan selari dengan keperluan pembangunan masa hadapan.

"Sebanyak 111 ruang pameran akan disediakan sepanjang persidangan bagi mengetengahkan produk dan teknologi terkini sektor berkaitan.

"Kita juga menyasarkan kehadiran 1,000 peserta dalam dan luar negara, dengan penglibatan 100 pembentang kertas kerja teknikal yang bakal berkongsi pengalaman mengenai teknologi dan inovasi kejuruteraan," jelasnya.

Persidangan dan pameran bertaraf antarabangsa itu dijadual berlangsung dari 13 hingga 15 Oktober ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).