JOHOR BAHRU - “Jadikan isu pemasangan terbalik Jalur Gemilang dan bendera negeri Johor sebagai peluang untuk mendidik bukannya menghukum dan memecah belahkan,”.
Demikian kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Kartiyaini Jeyapalan yang menyifatkan Jalur Gemilang adalah lambang bersama untuk menunjukkan semangat cinta akan negara.
“Saya lebih mahu melihat rakyat berlumba-lumba mengibarkan Jalur Gemilang daripada melihat rakyat takut untuk menyentuhnya,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, jika sesuatu kesilapan berlaku kerana kecuaian atau ketidaktahuan, kita boleh menegur, mendidik dan memastikan ia tidak berulang.
Namun, jika terdapat unsur kesengajaan untuk menghina negara, sudah tentu tindakan sewajarnya perlu diambil berdasarkan undang-undang.
“Tetapi jangan sampai setiap kesilapan dijadikan alasan untuk memalukan, menakutkan atau memecah-belahkan rakyat. Kita perlu tegas dalam soal menghormati simbol negara tetapi dalam masa yang sama, kita juga perlu bijaksana dalam cara kita mendidik rakyat.
“Kalau kerana terlalu takut melakukan kesilapan kita akhirnya tidak berani mengibarkan bendera, lama-kelamaan simbol itu akan semakin hilang daripada kehidupan seharian kita,” ulasnya.
Menurut Kartiyaini, banyak pihak ingin mengibarkan Jalur Gemilang kerana rasa cinta kepada negara namun kesilapan yang berlaku dijadikan bahan kecaman, pertengkaran dan polemik politik, rakyat memilih untuk tidak ambil risiko.
Katanya, rakyat berfikiran akan dikecm atau dikenakan tindakan jika tersalah pasang bendera.
“Kalau pemikiran seperti ini semakin berleluasa, kita sebenarnya sedang kehilangan sesuatu yang jauh lebih besar,” ulasnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, jika berlaku kesilapan, ia perlu diperbetulkan dan pihak yang bertanggungjawab perlu diberikan pemahaman tentang cara pengibaran yang betul.