KUALA LUMPUR - Seramai 600 pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) bakal terbang ke luar negara secara berperingkat bagi menyambung pengajian, membabitkan pembiayaan pelaburan pendidikan sebanyak RM489 juta.
Tidak cuma itu, 11 pelajar Mara turut mencipta pencapaian membanggakan apabila memperoleh tempat di universiti kedua terkemuka dunia berdasarkan QS World University Rankings 2026 iaitu Imperial College London United Kingdom (UK).
Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pencapaian tersebut antara kejayaan utama pelajar tajaan Mara tahun ini, dengan 40 pelajar berjaya mendapat tempat di universiti dalam kelompok 10 terbaik dunia, manakala 107 lagi di 20 universiti terkemuka dunia.
Menurut beliau, ini membuktikan keupayaan anak-anak bumiputera untuk bersaing dengan pelajar terbaik dari seluruh dunia.
"Kejayaan 11 pelajar mendapat tempat untuk sambung pengajian di Imperial College London membuktikan anak-anak Mara memiliki keupayaan, daya saing dan potensi untuk menyerlah di pentas global.
“Pergilah ke dunia, kuasai ilmu, bina jaringan dan karakter. Jangan hanya pulang sebagai graduan universiti terbaik dunia.
"Pulanglah sebagai bakat terbaik yang diperlukan Malaysia. Paling penting sekali, jangan lupa ALLAH SWT, solat dan asal-usul," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Pra-Pelepasan Pelajar Tajaan Mara ke Luar Negara Perdana 2026 bertempat di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini pada Rabu.
Sebahagian 600 pelajar tersebut bakal melanjutkan pengajian ke luar negara tahun ini membabitkan sembilan negara iaitu China, New Zealand, Korea Selatan, Perancis, Australia, Ireland, Kanada, UK dan Mesir.
Bidang penting yang diterap berasaskan agenda nasional untuk jangka masa panjang antara lain sains, teknologi, kejuruteraan, perubatan, ekonomi dan pengkomputeran.
Lebih membanggakan, menurutnya, seramai 175 pelajar tajaan Mara berjaya menamatkan pengajian di Imperial College London UK, manakala 22 lagi sedang mengikuti pengajian di universiti berprestij tersebut.
Pihaknya turut memberitahu bakal terus memperkukuhkan akses pendidikan global dan hubungan strategik dengan institusi serta industri bagi memastikan pelaburan pendidikan berupaya menghasilkan bakat bumiputera yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
"Kita tidak mahu mereka sekadar masuk ke universiti terbaik dunia, tetapi kita juga mahu mereka keluar sebagai graduan pilihan industri.
"Graduan yang mempunyai ilmu, kemahiran, karakter, kepimpinan dan pengalaman diperlukan dunia pekerjaan,” ujarnya.
Jelas Asyraf lagi, pencapaian menyambung pengajian ke luar negara mencerminkan
keberkesanan ekosistem pendidikan Mara dalam membangunkan bakat berprestasi tinggi sejak di peringkat prauniversiti.
Dalam laluan International Baccalaureate (IB) di Kolej Mara Banting misalnya, dua pelajar memperoleh 45 mata penuh, manakala empat lagi mendapat 44 mata.
Sementara seorang pelajar Kolej Mara Seremban mencatatkan keputusan 4A* dalam A-Level manakala dua pelajar memperoleh 4A.
“Ini bukan sekadar angka atau 'ranking'. Di sebalik setiap pencapaian ini ada usaha pelajar, ibu bapa, guru dan pensyarah serta pelaburan Mara dalam membina ekosistem pendidikan yang kompetitif.
“Namun, kejayaan sebenar bukan hanya apabila mereka mendapat ijazah dari universiti terbaik dunia. Kita mahu mereka pulang dengan kepakaran, jaringan, pengalaman dan kemampuan untuk menyumbang kepada industri serta negara,” kata Asyraf.