KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan empat sekeluarga yang terbabit dalam kemalangan melibatkan lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, di sini berada di kawasan selamat untuk melintas jalan ketika kejadian berlaku.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, dapatan awal itu diperoleh hasil penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dirakam ketika insiden berkenaan.
Menurutnya, polis telah memperoleh beberapa rakaman CCTV dan sedang mendapatkan rakaman tambahan dari pelbagai sudut bagi melengkapkan siasatan.
“Kita juga cuba mendapatkan CCTV dari setiap sudut kerana di Kuala Lumpur kita dilengkapi dengan CCTV yang mencukupi dan saya rasa ia memadai untuk mendapatkan gambaran mengenai keadaan kejadian itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiga sekeluarga maut dilanggar lori imigresen
Anwar arah JIM siasat segera kemalangan lori imigresen
Tiga maut dilanggar lori imigresen: JIM serah siasatan kepada polis
Tiga sekeluarga maut asal Perak, dipercayai sedang bercuti di KL
Tiga beranak maut: JIM laksana siasatan dalaman aspek pematuhan prosedur pengoperasian kenderaan
Beliau berkata, polis turut menahan pemandu lori JIM terbabit serta pemandu sebuah kereta Proton Saga yang terlibat dalam kemalangan itu bagi membantu siasatan.
Katanya, permohonan reman terhadap kedua-dua pemandu berkenaan telah dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi Rabu, empat sekeluarga dilaporkan berada di pembahagi jalan berhampiran persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Ismail dari arah Medan Tuanku menghala ke Jalan Chow Kit.
Pada masa sama, sebuah lori JIM yang datang dari arah Wisma FGV dipercayai memasuki Jalan Tuanku Abdul Rahman ketika lampu isyarat di laluannya masih merah walaupun lampu beacon dan siren diaktifkan.
Lori berkenaan kemudian dilanggar sebuah Proton Saga yang datang dari arah Chow Kit menuju ke Maju Junction sebelum hilang kawalan dan terbabas.
Akibat rempuhan itu, lori terbabit melanggar empat pejalan kaki yang merupakan satu keluarga serta sebuah kenderaan Inokom Matrix yang sedang berhenti di persimpangan berkenaan.
Kemalangan tersebut mengorbankan tiga ahli keluarga iaitu seorang lelaki berusia 53 tahun serta dua anak perempuannya berusia 25 dan 12 tahun.
Isteri mangsa yang berusia 55 tahun pula mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Ketika kejadian, lori JIM berkenaan dilaporkan dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi mengambil Orang Kena Tahan (OKT) susulan operasi pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan terbabit.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.