SHAH ALAM - Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mengadakan sebarang perhimpunan atau tunjuk perasaan berkaitan kes kematian anjing dikenali sebagai Rocky yang dijadualkan dibawa ke Mahkamah Klang pada Khamis.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, orang ramai perlu memberi kepercayaan kepada pihak berkuasa dan membiarkan proses perundangan berjalan selepas siasatan berkaitan kes itu selesai dijalankan.
"Saya menasihatkan supaya tidak perlulah diperbesarkan isu ini sehingga nak diadakan sebarang perhimpunan ataupun tunjuk perasaan.
"Daripada aspek perundangan, siasatan telah dijalankan dan kita telah kenal pasti siapa pihak-pihak yang bertanggungjawab," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Rabu.
Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor komited menjalankan siasatan secara adil tanpa memihak kepada mana-mana pihak.
"Siasatan yang kami jalankan ini telah membawa kepada arahan pertuduhan esok. Ini menunjukkan bahawa kita tidak berpihak kepada mana-mana.
"Selagi ada yang melanggar undang-undang, kita akan jalankan siasatan dan mengambil tindakan mengikut lunas perundangan," katanya.
Shazeli berkata, orang ramai seharusnya memberi ruang kepada proses perundangan untuk melaksanakan tanggungjawabnya dan tidak mencetuskan sebarang kekecohan.
Dalam pada itu, beliau berkata kawalan keselamatan sememangnya dilaksanakan pihak polis di kawasan mahkamah, termasuk bagi memastikan ketenteraman awam.
"Di mahkamah memang sentiasa pihak polis kawal. Saya percaya esok pun Ketua Polis Daerah Klang Selatan akan mengambil tindakan-tindakan yang sewajarnya.
"Justeru, kepada masyarakat, hadirlah dengan penuh tertib dan keamanan. Tidak perlu untuk kita memecah keamanan esok. Biarlah undang-undang menjalankan tugasnya," katanya.
Bagaimanapun, Shazeli berkata orang ramai yang mahu hadir bagi melihat prosiding pertuduhan berkenaan dipersilakan, namun diminta menjaga ketenteraman dan mematuhi arahan pihak polis.