Warga Vietnam ditahan, dadah bernilai RM8.3 juta dirampas

Iklan
Fadil Marsus (empat dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas di sebuah kondominium di Brickfields pada 9 Ogos lalu.

KUALA LUMPUR - Sebuah kondominium di Brickfields di sini dipercayai dijadikan tempat penyimpanan serta pengedaran dadah terbongkar selepas polis merampas hampir 80 kilogram (kg) metamfetamina dan 30 kg ekstasi dalam serbuan pada 9 Ogos lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata operasi kendalian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur itu turut menahan seorang lelaki warga asing berusia 36 tahun.

Iklan
Iklan

"Susulan tangkapan itu, polis menjalankan serbuan lanjut di sebuah premis berkaitan sebelum menemukan sejumlah dadah yang dipercayai untuk tujuan pengedaran tempatan.

"Premis berkenaan dipercayai digunakan sebagai tempat menyimpan dan mengedar dadah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Rabu.

Iklan

Fadil berkata, suspek merupakan warga Vietnam, namun memiliki pasport Kanada.

"Suspek yang tidak mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah itu direman selama 11 hari sehingga 20 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Iklan

Beliau berkata, polis turut menyita sebuah Proton X50 bernilai kira-kira RM85,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

"Siasatan turut menjurus kepada usaha mengenal pasti pembekal, orang tengah dan pihak lain yang mempunyai kaitan dengan rangkaian pengedaran berkenaan.

"Pembekal dipercayai dari luar kawasan Kuala Lumpur dan tindakan risikan sedang dijalankan bagi mengenal pasti pembekal serta individu lain yang terlibat," katanya.