Mahkamah putuskan pemecatan koperal polis tidak patuh prosedur tatatertib

Iklan
Mahkamah Persekutuan pada Rabu memutuskan pemecatan seorang anggota polis berpangkat koperal pada tiga tahun lalu, dilakukan tanpa mematuhi prosedur tatatertib.

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini memutuskan pemecatan seorang anggota polis berpangkat koperal pada tiga tahun lalu, dilakukan tanpa mematuhi prosedur tatatertib.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Rhodzariah Bujang memutuskan demikian selepas mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah dan Mahkamah Rayuan di sini.

Iklan
Iklan

Mahkamah menolak rayuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan dengan kos RM50,000 pada 6 Ogos lalu.

Beliau yang bersidang bersama Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Collin Lawrence Sequerah turut memutuskan pangkat dan jawatan Mohd Sahamuddin Mohd Sapari, 36,selaku pemohon, dikembalikan.

Iklan

Ketika dihubungi, peguam, EN Amnach yang mewakili pemohon berkata, mahkamah mendapati prosiding tatatertib oleh pihak polis terhadap anak guamnya sebagai tidak sah.

Katanya, ia berhubung ketidakpatuhan terhadap Peraturan 29(1) yang menyatakan 'hendaklah dengan segera' namun pihak polis mengambil masa selama lebih dua tahun untuk tindakan susulan, sebagai satu kelewatan yang tidak munasabah.

Iklan

Berdasarkan dokumen yang diperoleh media, pada 4 Mac 2021, pemohon telah dituduh di Mahkamah Majistret Langkawi kerana disyaki mengambil dadah di Balai Polis Air Hangat, daerah sama, mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan, anggota polis berpangkat koperal tersebut didenda sebanyak RM1,500 pada hari sama pendakwaan dibuat.

Pada 15 April 2021 pemohon dikenakan perintah gantung kerja oleh Ketua Polis Kedah seterusnya menyebabkan beliau tidak berhak menerima sebarang emolumen di sepanjang tempoh tahan kerja.

Pada 18 September 2023, pemohon mendakwa telah dibuang kerja oleh Pengerusi Lembaga Tatatertib Kontinjen Kedah, Asisten Komisioner (ACP) Zaimy Mohamad Nawi kerana telah disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman berhubung kes dadah tersebut.

Pemohon yang bertugas di Balai Polis Lapangan Terbang, Langkawi telah berkhidmat dengan PDRM selama 12 tahun, ditahan kerja selama dua tahun dan lima bulan.

Susulan itu, pemohon memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.

Beliau menamakan empat pihak iaitu Zaimy, Ketua Polis Kedah, Suruhanjaya Pasukan Polis dan Kerajaan Malaysia selaku defendan pertama hingga keempat, pada 11 Januari 2024.

Beliau membuat permohonan berkenaan kerana tidak berpuas hati selepas digantung kerja terlalu lama dan tidak munasabah sebelum tindakan tatatertib buang kerja diambil.

Tindakan itu katanya, merupakan satu penyalahgunaan proses prosiding tatatertib kerana pemohon tidak menerima sebarang emolumen, tiada pendapatan kerana tidak boleh bekerja dengan gaji tetap.

Hakim, Mahazan Mat Taib kemudiannya membenarkan semakan kehakiman pemohon dengan menyatakan, keputusan buang kerja oleh responden pertama setelah digantung kerja selama dua tahun lima bulan sebagai satu penyalahgunaan proses prosiding tatatertib.

Katanya, ia termasuk keputusan buang kerja tersebut tidak mematuhi Peraturan 29 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Tidak berpuas hati dengan keputusan berkenaan, responden membuat rayuan di Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada 24 Oktober tahun sama.

Bagaimanapun panel hakim mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan yang membawa kepada rayuan terakhir mereka di Mahkamah Persekutuan.