Belasah Arab Saudi 9-0, nama Lim You jadi sebutan

Iklan
Lim You penyerang berdarah warisan Malaysia-Amerika Syarikat.

KUALA LUMPUR - Nama pemain muda negara, Lim You menjadi sebutan apabila mempamerkan aksi luar biasa dengan meledak tujuh gol untuk membantu skuad Malayan Tigress Bawah 17 Tahun (B-17) membelasah Arab Saudi 9-0 pada aksi Piala Srikandi Merdeka 2026 di Super Soccer Arena, Kudus, Indonesia pada Selasa.

Pemain berusia 14 tahun itu muncul watak utama kemenangan bergaya anak buah Fairuz Montana Zainal Abidin, sekali gus membawa Malaysia melangkah ke separuh akhir kejohanan berprestij tersebut.

Iklan
Iklan

Malah, kemenangan besar ke atas Arab Saudi turut menyaksikan Malayan Tigress mengiringi tuan rumah, Garuda Pertiwi, ke kelompok empat pasukan terbaik selepas menampilkan persembahan dominan sepanjang 90 minit permainan.

Lim hanya memerlukan lapan minit untuk membuka jaringan sebelum terus mengganas dengan menambah dua lagi gol pada minit ke-22 dan ke-27 bagi melengkapkan hatrik pada babak pertama.

Iklan

Penyerang berdarah warisan Malaysia-Amerika Syarikat itu tidak memperlahankan rentaknya selepas rehat apabila terus menjadi mimpi ngeri buat pertahanan Arab Saudi.

Dengan ketajaman penyudah yang luar biasa, Lim menambah empat lagi gol termasuk menerusi sepakan penalti untuk melengkapkan hatrik berganda pada minit ke-83, sebelum menghadiahkan gol ketujuh peribadinya ketika perlawanan berbaki lima minit.

Iklan

Prestasi luar biasa itu turut mencuri perhatian pemerhati bola sepak serantau kerana rekod menjaringkan tujuh gol dalam satu perlawanan rasmi merupakan pencapaian yang jarang dicatatkan, khususnya dalam saingan antarabangsa.

Dua lagi gol Malaysia dalam perlawanan tersebut disumbangkan Mia Alysa dan Ku Nur Qaleysha, sekali gus melengkapkan kemenangan paling bergaya skuad negara dalam kejohanan berkenaan.

Apa yang lebih membanggakan, kejayaan itu diraih meskipun Malaysia terpaksa beraksi dengan 10 pemain sejak minit ke-21 selepas penyerang negara, Dishanna Nagarajan Pillay dilayangkan kad merah.

Namun, kekurangan seorang pemain langsung tidak menjejaskan corak permainan Malayan Tigress yang terus menguasai perlawanan dan mencipta peluang demi peluang sehingga wisel penamat.

Selain memiliki kepantasan dan gerakan lincah di bahagian serangan, Lim turut mempamerkan kemampuan melakukan rembatan kaki kiri yang padu, termasuk beberapa jaringan jarak jauh serta satu sepakan percuma menarik.

Laporan media menyifatkan pencapaiannya itu sebagai kali pertama seorang pemain wanita Malaysia menjaringkan tujuh gol dalam satu perlawanan antarabangsa rasmi, sekali gus mengukir nama dalam buku rekod pada usia yang cukup muda.

Kemenangan besar ke atas Arab Saudi itu menyaksikan Malaysia menamatkan saingan Kumpulan A di kedudukan kedua berdasarkan kelebihan perbezaan gol, berkongsi empat mata dengan Hong Kong, sekali gus mengesahkan slot ke separuh akhir dengan penuh bergaya.

Dengan prestasi semasa yang ditampilkan Lim dan rakan sepasukan, Malayan Tigress kini dilihat berada di landasan terbaik untuk meneruskan cabaran memburu gelaran Piala Srikandi Merdeka 2026.