Kadar gaji pekerja perlu selari realiti kos sara hidup - UNI-MLC

Iklan
Mohamed Shafie

SHAH ALAM - Penetapan gaji pekerja perlu mengambil kira realiti kos sara hidup semasa bagi memastikan pendapatan diterima bukan sekadar mencukupi untuk memenuhi keperluan asas, malah membolehkan mereka menjalani kehidupan yang lebih terjamin dan bermaruah.

Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, perubahan kos makanan, perumahan, pengangkutan, pendidikan dan keperluan harian memberi kesan langsung terhadap kuasa beli pekerja terutama golongan berpendapatan rendah.

Iklan
Iklan

Justeru, beliau berpandangan, kajian semula Perintah Gaji Minimum 2024 yang sedang dilaksanakan kerajaan penting bagi menilai sama ada kadar semasa masih relevan dengan keadaan ekonomi dan keperluan pekerja ketika ini.

"Bagi pekerja, isu gaji bukan sekadar mengenai satu angka di atas slip gaji. Persoalan yang lebih penting ialah apa yang mampu dibeli dengan gaji tersebut dan sama ada ia mencukupi untuk pekerja memenuhi keperluan asas keluarga mereka.

Iklan

“Apabila kos sara hidup berubah, nilai sebenar pendapatan pekerja juga berubah. Sebab itu kadar gaji perlu dinilai dari semasa ke semasa supaya kebajikan dan kuasa beli pekerja terus dilindungi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohamed Shafie menambah, pekerja merupakan antara tonggak utama yang menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara.

Iklan

Justeru, beliau menekankan kebajikan mereka perlu terus diberikan perhatian dalam pembentukan dasar pasaran buruh.

Menurutnya, pekerja tidak seharusnya berada dalam keadaan sebahagian besar pendapatan bulanan hanya mencukupi untuk menampung keperluan paling asas tanpa mempunyai ruang kewangan bagi menghadapi kecemasan, pendidikan anak-anak atau membina simpanan.

“Pekerja keluar bekerja setiap hari untuk membina kehidupan yang lebih baik untuk keluarga. Mereka bukan hanya perlu mampu membayar bil dan membeli makanan, tetapi juga perlu mempunyai sedikit ruang untuk menyimpan, menjaga kesihatan, membiayai pendidikan anak-anak dan menghadapi perkara yang tidak dijangka.

“Itulah makna kebajikan pekerja yang sebenar. Kita bukan bercakap tentang kemewahan, tetapi tentang kemampuan untuk menjalani kehidupan yang wajar hasil daripada pekerjaan mereka sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa proses kajian semula itu tidak bermaksud kadar gaji minimum perlu dinaikkan secara automatik.

Sebaliknya, katanya, ia merupakan peluang untuk kerajaan bersama wakil pekerja dan majikan menilai pelbagai indikator sebelum menentukan sama ada kadar semasa masih sesuai dengan keadaan ekonomi dan keperluan semasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, UNI-MLC bersedia memberikan pandangan serta kerjasama dalam proses kajian semula berkenaan bagi memastikan dasar gaji negara terus responsif terhadap perubahan ekonomi dan realiti kehidupan pekerja.