SHAH ALAM - Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memilih untuk berdiam diri berhubung kes pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur (Menara KL) yang masih dalam proses perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Annuar berkata, namanya sering diketengahkan setiap kali isu berkaitan Menara KL disebut, termasuk penggunaan fotonya dalam laporan mengenai kes berkenaan walaupun perkara itu membabitkan individu lain.
“Setiap kali ada sebutan berkaitan Menara Kuala Lumpur, nama saya yang disorotkan, foto saya yang digunakan walaupun kes orang lain. Saya mungkin menjadi saksi,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Terdahulu, media pada Selasa melaporkan 29 saksi pendakwaan akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes Hydroshoppe Sdn Bhd dan pengarahnya berhubung dakwaan tawaran suapan RM500,000 setahun selama 15 tahun bagi manfaat Annuar.
Beliau berkata, keputusan untuk tidak mengulas lanjut dibuat bagi menghormati proses mahkamah yang sedang berjalan.
"Dalam kes ini ramai sudah yang teraniaya dan dijadikan mangsa sedangkan yang mendapatnya orang lain, yang menikmatinya orang lain. Yang jujur, yang benar dibenamkan.
"Sebab itu dan atas dasar menghormati proses mahkamah yang sedang berjalan, saya memilih membisu. Saya hanya memberi kerjasama kepada yang berwajib menjalankan tugas mereka,” katanya lagi.
Annuar menegaskan bahawa segala tindakan yang dilakukannya tidak dipengaruhi perkara yang bercanggah dengan undang-undang dan prinsip integriti.
"Apa lagi dalam perkara yang bukan kuasa saya. Semua perkara wajib mematuhi peraturan dan undang-undang.
"Mereka yang berjaya kerana merit adalah hak mereka, perbualan atau perancangan sesama mereka bukan urusan saya.
“Saya yakin mereka yang benar, tetap benar. Mereka yang dianiayai pasti mendapat hak mereka, insya-ALLAH,” ujarnya.