KUALA LUMPUR - Tiga sekeluarga yang maut dirempuh lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail di sini dipercayai sedang bercuti di ibu negara.
Kemalangan itu mengorbankan bapa berusia 53 tahun serta dua anak perempuan berusia 25 dan 12 tahun, manakala isteri mangsa lelaki berusia 55 tahun dilaporkan parah.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati keluarga tersebut menetap di Kampar, Perak.
"Mereka dipercayai berada di ibu negara untuk bercuti, tetapi tidak dipastikan sejak bila mereka berada di sini (Kuala Lumpur).
"Isteri mangsa masih dirawat di Zon Merah Hospital Kuala Lumpur," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiga sekeluarga maut dilanggar lori imigresen
Anwar arah JIM siasat segera kemalangan lori imigresen
Tiga maut dilanggar lori imigresen: JIM serah siasatan kepada polis
Difahamkan, terdapat seorang lagi anak mangsa yang tidak mengikut percutian mereka ketika kejadian.
Kejadian kira-kira jam 1 pagi itu melibatkan kemalangan sebuah lori Isuzu Black Maria milik JIM Kuala Lumpur, dua buah kereta dan empat orang pejalan kaki.
Lori tanpa penumpang berkenaan dipandu lelaki berusia 43 tahun yang sedang dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi tujuan mengambil Orang Kena Tahan (OKT) susulan operasi pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan berkenaan.
Lori tersebut dipercayai telah memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah dalam keadaan lampu beacon dan siren diaktifkan.
Pada masa yang sama, sebuah Proton Saga yang dipandu lelaki Melayu berusia 50 tahun melalui persimpangan berkenaan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna hijau.
Pemandu Proton Saga terbabit dipercayai tidak sempat mengelak lalu berlaku perlanggaran dengan lori berkenaan di tengah persimpangan.
Akibat perlanggaran tersebut, lori berkenaan hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar empat orang pejalan kaki yang merupakan satu keluarga serta sebuah kenderaan Inokom Matrix yang dipandu lelaki berusia 38 tahun dan berhenti di persimpangan lampu isyarat ketika kejadian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.