[VIDEO] Ketua pegawai kewangan sebuah IPTS didakwa pecah amanah lebih RM6 juta

Iklan

SEREMBAN - Ketua Pegawai Kewangan sebuah Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM6.5 juta.

Tertuduh, Noraini Aripin, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datin M Kunasundary selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) sebuah IPTS telah diamanahkan untuk mengurus wang berjumlah RM6,557,720 milik syarikat berkenaan bagi tujuan pembayaran duti ad valorem kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Bagaimanapun, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta tersebut dengan membuat pembayaran bagi tujuan lain sehingga menyebabkan bayaran duti ad valorem kepada LHDN tidak dibuat.

Iklan

Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan antara September 2025 hingga April 2026 di pejabat IPTS tersebut di Bandar Enstek, Nilai.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan pecah amanah jenayah yang boleh dihukum di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan [Akta 574].

Iklan

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang daripada dua tahun dan maksimum 20 tahun, sebat dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Syairah Aqilah Khalil, menawarkan jaminan RM100,000 dengan beberapa syarat tambahan.

Peguam, Kelvin Ong, dalam rayuannya memaklumkan anak guamnya yang sudah berkahwin, mempunyai lima anak dan kini sedang menghidap kanser payudara tahap tiga.

Katanya, tertuduh merupakan Ketua Pegawai Kewangan dengan pendapatan RM15,000 sebulan, justeru memohon jaminan minimum sebanyak RM50,000.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM80,000 dengan seorang penjamin warganegara berusia lebih 21 tahun, melaporkan diri di pejabat SPRM pada minggu kedua setiap bulan sehingga kes selesai dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 20 September depan.