Nestle Malaysia lancar Nestle KITAR, perluas program kitar semula komuniti EPR terbesar negara

Iklan
Juan Aranols (tiga dari kanan), bersama Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh (dua dari kiri), diiringi Penolong Naib Presiden Nestlé S.A. dan Ketua Kelestarian bagi Zon Asia, Oceania & Afrika, Katarzyna Grzybowska (kiri) dan Timbalan Setiausaha Bahagian (Ekonomi Kitaran) di bawah Bahagian Kemampanan Bandar, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Dr Margaret Kuyor (dua dari kanan) serta Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat Kumpulan, Nestlé Malaysia & Singapura, Raja Nurmaria Murni Raja Nur Azmi semasa pelancaran Nestlé KITAR baru-baru ini.

NESTLE Malaysia membawakan program kitar semula komuniti ke fasa seterusnya dengan pelancaran Nestlé KITAR, platform serba baharu bagi Projek SAVE (Asingkan, Elakkan, Hargai, Didik), inisiatif Tanggungjawab Pengeluar Lanjutan (EPR) sukarela terbesar negara.

Berbekalkan kerjasama dan impak selama lebih enam tahun, Nestle KITAR akan meluaskan penyertaan kitar semula komuniti dan mengukuhkan peralihan Malaysia kepada ekonomi lebih bersifat kitaran menerusi perkhidmatan kutipan yang ditambah baik, pendidikan kitar semula dan kerjasama strategik di seluruh negara.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols berkata, Malaysia menghasilkan kira-kira 40,000 tan sisa pepejal setiap hari, dengan sebahagian besar terdiri daripada bahan yang mungkin boleh dikitar semula.

Menurutnya, Nestle KITAR merupakan komponen penting dalam merealisasikan aspirasi global syarikat untuk memastikan tiada pembungkusan berakhir di tapak pelupusan sampah atau dibuang merata-rata.

Iklan

“Selain itu, mengurangkan penggunaan plastik dan menghasilkan reka bentuk pembungkusan yang lebih baik merupakan antara langkah penting dalam membentuk ekonomi kitaran.

“Kami juga perlu mengukuhkan pengumpulan dan pemulihan bahan kitar semula menerusi sistem yang berkesan, penyertaan komuniti dan kerjasama yang kukuh,” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Tambah beliau, Projek SAVE telah meletakkan batu asas untuk usaha ini sepanjang tempoh enam tahun lepas.

Sejak diasaskan pada 2020, Projek SAVE berkembang untuk meliputi 270,000 isi rumah di sembilan bandar raya, menyediakan khidmat kutipan bahan kitar semula secara tetap dan menggalakkan Pengasingan Sisa di Punca.

Setakat ini, program tersebut telah memperoleh semula dan mengitar semula 50,000 tan bahan kitar semula bercampur kering, termasuk 32,000 tan plastik.

Projek ini turut mencerminkan tanggungjawab bersama dalam kalangan industri, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pemegang konsesi pengurusan sisa, pengitar semula dan komuniti untuk meluaskan perkhidmatan kutipan, mengurangkan sisa, mengukuhkan pendidikan kitar semula dan menggalakkan penyertaan isi rumah secara konsisten.

Kerjasama yang dijalin juga membolehkan perkhidmatan kitar semula dan inisiatif penglibatan komuniti disesuaikan mengikut keperluan tempatan sambil program terus diperluas ke serata Malaysia.

Platform ini melengkapkan usaha lebih menyeluruh Nestle untuk mengurangkan penggunaan plastik baharu, meningkatkan penggunaan bahan kitar semula dan memastikan pembungkusan yang dihasilkan lebih mudah dikitar semula.

Pada tahun 2025, sebanyak 95.6 peratus pembungkusan Nestle Malaysia telah direka bentuk supaya boleh dikitar semula.

Pencapaian ini turut dibina atas pelbagai inovasi yang telah diperkenalkan, termasuk penggunaan botol yang diperbuat daripada resin plastik kitar semula (rPET) berkualiti tinggi bagi rangkaian Sedia-Untuk-Diminum (RTD), yang merupakan inisiatif pertama seumpamanya di Malaysia.

Nestle turut menggantikan mangkuk dan cawan plastik dengan alternatif berasaskan kertas yang lebih lestari bagi kategori produk terpilih.

Nestle juga merupakan syarikat pertama di Malaysia yang beralih sepenuhnya kepada straw kertas bagi keseluruhan rangkaian produk UHT, sekali gus membantu mengelakkan lebih 1.2 bilion straw plastik daripada berakhir di alam sekitar setakat ini.

Menerusi Nestle KITAR, Nestle Malaysia bertekad untuk menjadikan kitar semula satu amalan harian yang mudah dilakukan, menyumbang kepada ekonomi kitaran lebih kukuh dan masa depan lebih lestari bagi Malaysia.