Peniaga baharu pasar malam meningkat 20 peratus

Iklan
Steven (empat dari kanan) dan Alfirzamunira (tiga dari kanan) ketika perasmian Semangat Merdeka dan Kempen Pasar Malam Hijau di Pasar Malam Jalan Pandak Akhat, Batu Gajah pada Selasa.

BATU GAJAH - Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Perkasa Negeri Perak (PPKMP) merekodkan peningkatan kira-kira 20 peratus peniaga baharu yang menyertai pasar malam sejak pasca pandemik.

Presidennya, Alfirzamunira Abdul Muin berkata, trend itu dilihat semakin ketara dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini apabila ramai individu yang kehilangan pekerjaan memilih sektor berkenaan sebagai sumber rezeki alternatif.

Iklan
Iklan

"Operasi dan maklum balas daripada peniaga serta pengunjung setakat ini sangat baik walaupun berdepan keadaan ekonomi semasa.

"Hanya sekitar 15 peratus peniaga yang terpaksa menghentikan operasi, namun jumlah itu diimbangi dengan kehadiran peniaga baharu yang semakin meningkat," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Semangat Merdeka dan Kempen Pasar Malam Hijau di Pasar Malam Jalan Pandak Akhat di sini pada Selasa.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Steven Tiw.

Iklan

Alfirzamunira berkata, secara keseluruhan, terdapat kira-kira 600 peniaga berdaftar di bawah persatuan melibatkan 12 kawasan tapak pasar malam di sekitar daerah Kinta.

Katanya, Pasar Malam Pandak Akhat yang telah beroperasi sejak 1986 itu kini berkembang pesat dengan operasi 200 gerai berbanding hanya sekitar 20 peniaga ketika awal penubuhannya.

"Sempena program semangat merdeka ini, pihak persatuan turut menyediakan hadiah sebagai galakan kepada peniaga yang menghias gerai mengikut tema kemerdekaan.

"Program sama akan diteruskan di lokasi lain termasuk di kawasan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI)," katanya.

Dalam pada itu, Steven berkata, program berkenaan berjaya memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum yang hadir memeriahkan pasar malam tersebut.

"Walaupun kita sering melihat pelbagai pandangan di media sosial, hakikatnya di lapangan, masyarakat pelbagai kaum dapat bersama-sama meraikan semangat kemerdekaan dalam suasana harmoni.

"Saya berharap lebih ramai pengunjung dari kawasan sekitar dapat hadir bagi memeriahkan lagi pasar malam ini," katanya.